Sumber: Utusan Online, 24 Jun 2008

KUALA LUMPUR 23 Jun – Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad (gambar) hari ini secara rasmi tamat tempoh penggantungan keahliannya dalam parti itu selama tiga tahun kerana terbabit dalam politik wang.

Surat memaklumkan berakhirnya tempoh hukuman itu yang dijalani sejak 2005 hingga 23 Jun 2008 dihantar kepadanya oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Jumaat lalu.

Mohd. Isa, 59, yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004 ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata:

“Saya tersenyum, saya tersenyum... saya bersyukur. Itulah reaksi saya apabila dapat surat itu.

“Dari dulu saya tidak pernah dipecat (keahlian UMNO), saya cuma digantung dan hilang hak sebagai ahli.

“Jadi mulai sekarang, saya kembali mendapat hak saya sebagai ahli yang selama ini digantung iaitu hak memilih (mengundi) dan dipilih (bertanding) serta hak dilantik dan melantik.”

Ditanya sama ada beliau bercadang bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti Disember ini dan juga di peringkat bahagian antara Oktober dan November ini, Mohd. Isa yang memegang keahlian nombor 22 dalam UMNO memberitahu:

“Saya sedang fikir dengan serius jawatan apa yang saya hendak bertanding, nanti saya beritahu kalau saya sudah buat keputusan.

“Buat masa ini dan dalam tempoh tiga tahun penggantungan itu, saya terus bekerja untuk parti.

“Selama ini pun saya masih ahli UMNO, jadi orang jemput saya berucap di banyak tempat dalam pilihan raya umum lalu dan dalam pilihan raya kecil sebelum itu.”

Selain bekas Ahli Parlimen Jempol dan bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu, beberapa pemimpin peringkat cawangan dan bahagian UMNO lain turut menamatkan hukuman masing-masing minggu lalu.

Mohd. Isa memberitahu, hari ini beliau menerima begitu banyak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan dalam parti yang mengucapkan tahniah atas berakhirnya penggantungan hukuman itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang telefon dan kirim SMS memberi semangat kepada saya... ramai yang mengucapkan selamat kembali kepada saya walaupun sebenarnya saya tidak pernah keluar UMNO,” ujarnya.

Mohd. Isa bertanding dan memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi iaitu tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 2005, beliau dilucutkan jawatan Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang oleh Lembaga Disiplin parti serta digantung keahliannya dalam UMNO selama dua penggal iaitu enam tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Berikutan rayuan Mohd. Isa pada 6 Julai 2005, Majlis Tertinggi (MT) UMNO kemudian memutuskan untuk mengekalkan hukuman penggantungan keahlian Mohd. Isa, tetapi mengurangkan tempohnya kepada tiga tahun iaitu sehingga 23 Jun 2008.

2 comments:

wah...berita ni kira berita orang N9 lah...saya pun ingat nak publish, tapi line internet asyik putus je

June 24, 2008 at 10:08 AM  

Si Mat Isa ni used to be org kg dulu....tapi dah terbuang ke PD. Tau je la cerita2 "hebat" dia....

June 24, 2008 at 8:51 PM