Masa untuk menukar kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat sudah tiba (!??)
Posted by anakbuah at Wednesday, June 18, 2008[Update: 21 Jun 2008]
Tamparan Hebat buat UMNO dan Barisan
Buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air, seorang Perdana Menteri bakal dicabar dengan usul hilang keyakinan di dalam Parlimen. Ini adalah kenyataan yang dikeluarkan bukan dari Pakatan Rakyat, tetapi parti komponen Barisan Nasional sendiri – SAPP dari Sabah.Sebenarnya keadaan di Sabah sangatlah rumit semenjak PRU-12. Kemenangan mereka (yang juga menjamin kemenangan Barisan) seakan-akan diketepikan kepimpinan dalam pemilihan kabinet.
Maka satu persatu isu-isu (yang bukannya isu baru) dibangkitkan parti-parti Sabah demi “mempertahankan Sabah”. Pada pendapat penulis, walaupun isu-isu ini dijadikan mainan politik, ianya masih harus ditangani demi kepentingan rakan-rakan di Sabah.
Ya, memang benar UMNO tidak patut tunduk kepada ugutan sebegini. Tetapi malangnya UMNO sekarang tidak berada dalam posisi untuk mempertahankan diri. Jika satu-persatu parti komponen Barisan memprotes, dan UMNO kekal bersahaja, akan tiba masanya UMNO hanya memegang kerusi mereka sahaja – adakah ini cukup untuk menangkis serangan Pakatan Rakyat?
Yang menjadi persoalan adalah bagaimana keadaan boleh meleret sehingga jadi sebegini? Desas-desus pengumuman oleh SAPP telah diketahui sejak beberapa hari yang lalu. Adakah kepimpinan Barisan leka sehingga terlepas pandang masalah ini?
Di manakah “rundingan minit terakhir” yang acapkali digunakan untuk menyelamatkan keadaan parti?
Dan apakah tindakan seterusnya? Tiada respon segera. Seakan-akan mencabar lagi tindakan seterusnya dari SAPP mahupun parti-parti komponen lain. Jangan sampai ugutan menjadi realiti.
Buat masa sekarang SAPP masih lagi kekal di dalam Barisan. Kepimpinan sekarang terjerat.Jika mereka halau SAPP keluar Barisan, maka Pakatan dapat lagi beberapa kerusi. Jika tiada tindakan, ianya akan melemahkan lagi posisi kepimpinan.
Sedarlah bahawa SAPP ini parti yang tidak besar tetapi mempunyai wakil di dalam Parlimen. Tindakan mereka ini adalah seakan-akan “eksperimen” untuk melihat sama ada benarkah parti-parti komponen lain ingin “melompat” ke Pakatan Rakyat.
SAPP masih lagi dalam Barisan. Bukan Barisan yang mereka marahkan, tetapi kepimpinan. Tidak musytahil, malah kemungkinan besar, majoriti MP Barisan dari Sabah menanti peluang untuk bertindak. Maka tindakan seterusnya haruslah bijak dalam percaturan politik ini.
Ahli-ahli akar umbi UMNO harus sedar tentang realiti politik sekarang. Jangan leka sehingga tiba satu hari tiada lagi UMNO untuk disokong.
Sumber: Blog Suara Akar Umbi UMNO-DU
[Posting Asal]
HarakahDaily.Net; 18 Jun 2008
Difahamkan seawal November 2007 lagi, sudah dilontarkan kemungkinan kenaikan harga minyak dalam mesyuarat di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan anggota exco kewangan kerajaan negeri dari seluruh negara.
Ketika itu, Abdullah dilaporkan sudah membayangkan bahawa subsidi minyak kemungkinan akan dikurangkan atau dihapuskan bagi mengurangkan bebanan kerajaan.
Justeru di kalangan penganalisis ekonomi menjangkakan harga minyak akan dinaikkan sebelum Pilihan Raya Umum ke 12, namun ia segera dinafikan kerajaan.
Jika penarikan balik subsidi minyak dibuat sebelum pilihan raya, nescaya kerajaan Barisan Nasional yang ada pada hari ini, sudah lama pupus di muka bumi.
Tanpa menggunakan isu kenaikan harga minyak pun, Pakatan Rakyat sudah menang di enam negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dengan 82 kerusi Parlimen, mungkin jika harga minyak dinaikkan, BN akan 'totaly wiped out' ditolak rakyat.
Langkah menaikkan harga minyak secara mendadak, dengan menarik balik subsidi ini, merupakan langkah yang paling tidak popular, dibuat Abdullah dalam keadaan imejnya, BN dan Umno yang sudah tercalar dari perspektif rakyat.
Ianya merupakan langkah yang paling tidak bijak, yang bakal menunjuk jalan mudah bagi Pakatan Rakyat menumbangkan BN.
Kesan domino menyebabkan ekonomi menguncup
Dalam menguruskan soal ekonomi, Abdullah tidak keseorangan. Beliau dibantu seluruh anggota Kabinetnya, khususnya Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan di bawah JPM sendiri ada Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
Timbul pertanyaan di kalangan rakyat, tidakkah kerajaan membuat perbincangan atau perancangan serta mengkaji impak-impak ekonomi dengan menarik balik subsidi?
Apabila harga petrol dinaikkan RM0.78 sen seliter, diesel dinaikkan RM1.00 seliter, ianya menghasilkan kesan domino kepada ekonomi, di mana rakyat begitu merasai tekanan dan terbeban.
Kesan ketara ini, disusuli dengan kenaikan harga makanan, barangan keperluan harian, produk industri serta lain-lain menyebabkan rakyat semakin tertekan.
Tekanan ini menyebabkan ekonomi negara semakin menguncup.
Misalnya jika dilihat dari satu aspek, para peniaga gerai makanan mengadu pelanggan semakin tidak ramai, bila tidak ramai, peniaga akan mengurangkan pembelian bahan mentah. Jika tidak laku, peniaga terpaksa menutup gerai atau memecat pekerja.
Kesan pengurangan pesanan bahan-bahan mentah juga akan menyebabkan industri perkilangan terjejas.
Apabila kuasa beli rakyat berkurangan, perniagaan tidak laku, penghasilan produk yang tidak kompetitif dan ia juga akan menyebabkan indeks pengangguran serta inflasi yang mungkin meningkat.
Aspek ini belum lagi dikaji kesannya kepada bentuk perniagaan yang lain, industri perkilangan, industri pembuatan serta yang terbabit dalam sektor import eksport.
Secara keseluruhannya teori domino yang berlaku kepada ekonomi negara menjejaskan keseluruhan rakyat dari pelbagai sektor dan pekerjaan.
Kegelisahan rakyat dizahirkan tanpa selindung lagi. Di mana-mana sahaja, sama di masjid, pejabat, premis perniagaan, gerai makan, stesyen bas, di kedai kopi, hatta sehingga di pejabat Umno di PWTC juga, rakyat merungut tentang kelemahan PM menguruskan kesejahteraan rakyat.
Tiada kewajaran menyokong kerajaan yang lemah
Rakyat kini, tidak melihat kewajaran bagi sesebuah kerajaan yang juga antara negara pengeluar minyak, menyalahkan kenaikan ekonomi di peringkat global, untuk memujuk rakyat terus menyokong mereka.
Rakyat Malaysia adalah mereka yang matang berfikir serta membuat tindakan. Tahap kematangan yang tinggi ini diungkapkan melalui keputusan PRU lepas.
Rakyat tidak lagi mahu parti yang mempunyai 'solid' majoriti dalam kerajaan. Rakyat mahukan ketelusan serta 'check and balance' dalam pentadbiran negara.
Maka akibat dari kesan ekonomi yang tidak menentu ini, rakyat mula mempersoalkan, apakah pegawai-pegawai kerajaan di EPU dan Kementerian Kewangan tidak buat kerja dan tidak mengkaji kesan seburuk ini?
Atau pun mungkin, kertas kajian mengenai impaknya sudah disediakan, tetapi tidak dibaca atau tidak difahami oleh PM sendiri?
Atau pun mungkin Abdullah yang tidak memahami soal ekonomi, juga terkenal dengan sifat 'spoon feeding'nya, menerima taklimat silap yang diberikan oleh pegawai lulusan Oxford University, yang bukan mahir dibidang ekonomi tetapi major dalam bidang linguistik?
Kesilapan besar Abdullah ialah, beliau tidak disokong dengan kajian yang rapi serta mendalam dan jelas tidak mempunyai langkah pemulihan terancang bagi mengendalikan krisis kenaikan harga minyak dalam negara.
Apabila menerima bantahan menyeluruh di kalangan rakyat, kerajaan mula kelam kabut.
Langkah 'ad hoc' terdesak terpaksa diambil, tiba-tiba elaun anggota Kabinet dipotong 10 peratus, memberi rebet tunai, mengurangkan cukai pendapatan, membayar gaji dua kali sebulan dan entah apa-apa lagi hendak dilakukan.
Semakin banyak langkah 'ad hoc' dibuat, kerajaan menjadi semakin tidak popular.
Apabila tiada cara lain, kerajaan meminta rakyat berjimat cermat, kurang menggunakan kenderaan persendirian, sebaliknya menggunakan pengangkutan awam.
Cadangan kerajaan ini turut menerima rungutan rakyat, macamlah pengangkutan awam negara begitu efisyen.
Jika hendak dihurai soal kelemahan pengangkutan awam ini begitu banyak, ia memerlukan satu topik yang khusus.
Semua ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, bahawa langkah 'ad hoc' yang dibuat Abdullah ini tidak akan berhasil. Keyakinan rakyat terhadap kerajaan sukar dipulihkan.
Rakyat bukan tidak boleh menerima kenaikan harga minyak, rakyat juga rasional. Tidak bolehkah Abdullah dan kerajaan membuat sesuatu dasar dengan perancangan yang teliti?
Tidak bolehkah langkah-langkah pemulihan dikemukakan secara terancang, dibentangkan bersekali ketika membuat pengumuman kenaikan harga minyak?
BN 'underestimate' kuasa rakyat
Atau mungkin juga kerajaan BN memikirkan rakyat Malaysia begitu baik dan tidak akan membuat bantahan yang boleh mengakibatkan mereka kehilangan kuasa.
BN sudah membuat kesilapan yang kedua, iaitu kesilapan yang lebih besar apabila mereka 'underestimate' kuasa rakyat.
Kesilapan pertama dilakukan pemimpin BN sewaktu menghadapi PRU ke 12. Mereka terlalu 'confident' untuk mengekalkan kuasa sehingga 'underestimate' pengaruh pembangkang di kalangan rakyat.
Hakikatnya pemimpin BN tidak menyedari bahawa sebarang bentuk kekangan ekonomi yang melampau akan membawa kesan politik yang buruk.
Kelemahan besar anggota komponen BN begitu terserlah apabila mereka terbukti gagal membawa kestabilan politik dan kesejahteraan ekonomi.
Rakyat semakin hilang keyakinan kepada BN. Keadaan negara sekarang ini membuktikan, persepsi bahawa hanya BN sahaja yang mampu memerintah sudah lenyap.
Rakyat bukannya hamba kepada kerajaan BN. Rakyat adalah tuan dalam negara. Tuan berhak menentukan masa depannya sendiri.
Tiada jalan lain untuk mengubah nasib rakyat, selain mengubah kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat.
Justeru, rakyat harus memberikan sepenuh kepercayaan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara dengan pembentukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat.
Jika 16 September 2008 terlalu lewat, rakyat boleh membantu Anwar menyegerakannya, dengan mengajak wakil rakyat mereka beramai-ramai berhijrah kepada Pakatan Rakyat.
Jika dalam Gerakan, MCA, SAPP, PBB sudah wujud perbincangan 'wajar atau tidak untuk meninggalkan BN', maka parti-parti komponen BN lain juga harus memikirkan opsyen ini.
Berubahlah, berhijrahlah demi kebaikan rakyat. Jika rakyat tidak menyokong mereka, nescaya mereka akan pupus tidak lama lagi.
Masa untuk menukar kerajaan sudah tiba.
Harimau-Menaip said...
Kesian Boss Malaysia. Orang bawah asyik tekan dia aje. Tapi dia buat dekkkkk je.
June 19, 2008 at 1:25 AM