[Update 6 Jun 2008]

Peningkatan Harga Petrol Semenjak 1990

sebelum 90 - RM 0.89
tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 ( kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 ( kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 ( kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 ( kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 ( kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 - RM 1.92 (kenaikan RM 0.30) !
05/06/2008 - RM 2.71 (kenaikan RM 0.78) !!!


Nota: Harga berwarna biru adalah di era Tun Dr. Mahathir dan merah di era Pak Lah.


[Posting Asal]

Wan Azizah: Rakyat rasa tertipu
malaysiakini.com; 5 Jun 2008


Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan masing-masing 40 dan 63 peratus harga petrol dan diesel amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga mereka terasa tertipu.


"Dalam pada kononnya kerajaan simpati dengan beban yang ditanggung rakyat di atas kenaikan harga barang, tindakan kerajaan ini barang pasti akan melonjakkan lagi harga tanpa mampu dibendung dan ditanggung rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, alasan basi kerajaan bahawa kenaikan tersebut adalah akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi, tidak dapat diterima rakyat.

"Bukan setakat itu sahaja, kenyataan bercanggah beberapa menteri berkenaan jumlah subsidi minyak, banyak menimbulkan persoalan.

"Datuk Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah sebanyak RM56 billion manakala semalam Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengatakan subsidi minyak sekadar RM28 billion.

"Apatah lagi menurut Laporan Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion, justeru itu kami menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar RM8-10 billion," katanya.

Utama kepentingan syarikat

Pada masa yang sama, katanya, rakyat maklum bahawa kos explorasi syarikat minyak hanyalah sekitar USD30 setong, berbanding dengan harga minyak mentah USD130 setong.

"Ini bermakna margin syarikat pengeluar minyak hampir USD100 setong dan syarikat pengeluar minyak ini mendapat keuntungn luar biasa sejak tiga tahun kebelakangan.

"Persoalannya kenapakah kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak tetapi memilih untuk menaikkan harga petrol dan membebankan rakyat?" soalnya.

"Kami yakin harga petrol RM1.92 seliter bukan sahaja boleh dikekalkan, malah boleh diturunkan jika kerajaan mengenakan cukai ke atas keuntungan luar biasa syarikat pengeluar minyak, syarikat pengeluar minyak kelapa sawit, syarikat pengeluar besi dan syarikat pengeluar simen bagi menampung kos subsidi.

"Kenapakah kepentingan syarikat-syarikat ini lebih diutamakan dan rakyat terus terbeban?" soalnya.

Wan Azizah berkata, Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport minyak seperti UAE RM1.19 seliter, Mesir RM1.03 seliter, Kuwait RM0.67 seliter, Saudi Arabia RM0.38 seliter, Nigeria RM0.32 seliter dan Venezuela RM0.16 seliter.

Harga di negara lain

"Membandingkan harga petrol dengan negara pengimport minyak seperti Singapura,Thailand dan Indonesia jelas menunjukkan sifat kedunguan.

"Kami menggesa kerajaan menimbangkan semula keputusan menaikkan harga petrol. Kerajaan seharusnya prihatin ke atas rakyat Malaysia yang rata-rata membelanjakan hampir 25 peratus pendapatan mereka ke atas pengangkutan.

"Setelah membayar cukai yang amat tinggi untuk membeli kenderaan dan membayar tol untuk melalui lebuhraya, kini terpaksa pula membayar kos petrol yg begitu tinggi.

"Kita kesal kerajaan sanggup membelanjakan hampir RM40 billion untuk projek landasan berkembar yang yang menghubungkan Padang Besar-Johor Baru tetapi berdalih untuk membelanjakan RM13-15 billion bagi subsidi petrol.

"Kenapa tidak digunakan RM40 billion itu untuk membina lingkaran LRT yang komprehensif bagi membaiki sistem kenderaan awam sebagai usaha mengurangkan penggantungan kepada petrol," katanya.


Harga baru minyak sepatutnya dibahas di Parlimen - Mahfuz
HarakahDaily.Net; 5 Jun 2008


Harga minyak mungkin tidak perlu dinaikkan jika kerajaan mengambil sikap terbuka dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menggesa kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak yang diumumkannya semalam dan membincangkannya terlebih dahulu di Parlimen.

"Walaupun kenaikan harga minyak berada dalam bidang kuasa kerajaan, tetapi oleh kerana kenaikan berskala besar kali ini pasti akan memberi kesan yang menindas kehidupan rakyat, ia hendaklah ditarik balik atau sekurang-kurangnya ditangguhkan sehingga perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak dibuat," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, kenaikan harga yang sebegitu kejam terhadap rakyat tidak patut dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan semua pihak termasuk membentangkannya di Parlimen.

"Saya yakin, jika kerajaan membentangkan perkara ini di Parlimen terlebih dahulu, kesemua wakil rakyat boleh memberikan pelbagai pandangan yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan.

"Malah, mungkin harga minyak tidak perlu dinaikkan dengan pelbagai pandangan yang diberikan," katanya.

Mahfuz bimbang kenaikan harga sehingga 78 sen bagi minyak petrol dan RM1 bagi minyak diesel kali ini akan menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebelum ini, hanya Malaysiakini yang membayangkan harga minyak mungkin dinaikkan semalam. Media-media pro-kerajaan tidak kelihatan memberikan sebarang isyarat harga minyak akan dinaikkan semalam malah membayangkan harga minyak akan dinaikkan pada bulan Ogos.

"Soal kredibiliti media-media tersebut tersebut tidak perlu dibincangkan. Masalahnya rakyat tidak diberikan sebarang isyarat bahawa harga minyak akan dinaikkan semalam untuk membolehkan mereka bersedia dan membuat pengubahsuaian," kata beliau.

Rakyat kini begitu resah dan panik dengan kenaikan harga berskala besar yang begitu mengejut, kata beliau sambil membayangkan kenaikan harga barang pasti akan menyusul.

"Huru-hara mungkin akan berlaku jika rakyat tidak mampu menanggung lagi kesan kenaikan harga minyak yang pasti akan berjangkit dengan begitu cepat kepada barangan lain," katanya.

Mahfuz percaya, masih belum terlambat lagi kerajaan menarik balik kenaikan harga minyak itu dan membincangkannya dengan menyeluruh dengan semua pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen, persatuan-persatuan pengguna, ahli-ahli akademik dan lain-lain sehingga satu keputusan yang tidak menindas dan begitu kejam terhadap rakyat dapat dibuat.

0 comments: