Oleh: Ustaz Idris Ahmad
HarakahDaily.Net; 11 August 2008
Islam agama Allah, maka Allah akan pelihara agama-Nya. Islam bukan ciptaan manusia atau mana-mana pemimpin tetapi ia adalah agama yang datang daripada Allah SWT. Ajaran Islam pula ajaran yang menyeru kepada perdamaian bukan pemusuhan. Islam mampu buktikan ia boleh tinggal dengan aman walaupun berlainan agama. Tidak ada dalam sejarah Islam membuat kezaliman kepada orang bukan Islam walaupun mereka minoriti berada di dalam negara Islam.
Islam bukan agama yang memaksa orang memeluknya. Kalau dipaksa maka ia akan melahirkan golongan munafik dalam Islam. Peraturan Islam, apabila sudah menganut Islam maka ia tidak boleh keluar dari agama. Selalu mereka persoal balik kenapa hanya orang Islam tidak boleh murtad, kenapa kami daripada agama lain boleh keluar agama asal dan memeluk Islam. Jawapannya adakah dalam agama kamu menghalang daripada keluar agama kamu.
Alhamdulillah negara kita yang penduduk peribuminya Islam dan menerima pakai Islam sebagai ajaran anak pribumi di negara ini. Dan inilah juga dihormati oleh penjajah ketika mereka datang ke negara kita. Penjajah Inggeris tahu, soal agama adalah merupakan perkara yang sensitif dan tidak boleh campur tangan dari kalangan orang lain.
Perjanjian Pangkor 1874 sebagai titik mula dilihat bagaimana Inggeris menghormati Islam dan tahu mana kekuatan yang ada pada orang Melayu Islam. Mereka tahu batasan orang Melayu iaitu Islam. Inggeris memutuskan bahawa soal agama diurus oleh sultan dan soal pentadbiran dikendalikan oleh Residen Inggeris. Kenapa ini berlaku kerana Inggeris tahu bahawa orang melayu sensitif terhadap agama mereka.
Dalam banyak hal ketika negara hendak merdeka beberapa perkara yang menjadi soal fundemantal telah dimasukkan dalam perlembagaan. Seolah-olah perkara ini dianggap 'keramat' dan tidak boleh disentuh seperti soal Islam, kedudukan raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu. Walaupun dalam realiti pada hari ini beberapa perkara sudah mula terhakis seperti bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, ia tidak berapa sensitif kepada orang Melayu-Islam di negara ini.
Tetapi soal Islam jangan siapa untuk menyentuh kerana ia sudah menjadi darah daging kepada orang Melayu-Islam di negara ini. Lebih-lebih lagi termaktub dalam perlembagaan Malaysia Fasal 160 definisi Melayu adalah seperti berikut; "...seorang yang menganut agama Islam lazimnya bercakap bahasa Melayu menurut adat istiadat Melayu dan:
a. Lahirnya sebelum hari merdeka di Persekutuan atau Singgapura atau pada hari merdeka ia adalah berdomisi di Persekutuan atau di Singapura atau,
b. Ia adalah keturunan seorang yang tersebut.
Mengaitkan agama dengan bangsa menunjukkan ia adalah asas kepada fikiran orang Melayu sehingga agama Islam telah menjadi satu unsur yang penting dalam definisi Melayu menurut Perlembagaan Negara.
Bangsa Melayulah satu-satu bangsa yang dikaitkan dengan agama, di mana Melayu adalah sinonim dengan Islam. Memahami hakikat ini penjajah Inggeris mampu bertapak di Tanah Melayu, serta mengubah struktur kepimpinan di negara ini, berbanding dengan kuasa penjajah Portugis dan Belanda.
Kerana mereka mengetahui psikologi orang Melayu berkenaan dengan agama. Mereka memberi cuti umum pada hari Jumaat, bulan puasa sekolah diberikan cuti kesemua ini untuk meraikan orang melayu yang kuat dengan syiar agama.
Sebab itu pada awal tahun 2006 apabila tindakan sembilan menteri Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama telah menjadi kemarahan orang Islam.
Memorandum itu, yang membutirkan undang-undang berkaitan dan beberapa perakuan, ditandatangani oleh semua menteri itu, termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato' Seri Ong Ka Ting; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Dato' Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Kerja Raya Dato' Seri S Samy Vellu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok; Menteri Pengangkutan Dato' Seri Chan Kong Choy; Menteri Sumber Manusia Dato' Seri Dr Fong Chan Onn; Menteri Kesihatan Dato' Dr Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr Maximus Ongkili; dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato' Peter Chin Fah Kui. Yang paling sedih tindakan ini dikatakan wajar oleh Tan Sri Rafidah Aziz " (Utusan Malaysia 21.1.06, "Tindakan mereka wajar")
Tindakan yang mereka lakukan amat mengguris perasaan orang Islam di negara ini. Selama ini perkara yang membabitkan masalah agama tidak ada siapa yang berani sentuh termasuk penjajah yang pernah datang ke negara ini. Kita ingin mengingatkan bahawa hal ehwal Islam biarlah orang Islam selesaikan. Mereka tidak berhak mencapuri urusan Islam, sebagai mana Islam tidak berhak untuk mencampuri hal ehwal bukan Islam.
Mereka perlu ingat bahawa Orang Melayu-Islam begitu sensitif dengan agamanya apabila diganggu. Banyak perkara lain mereka boleh maaf tetapi tidak pada urusan agama.
Alhamdulillah orang Melayu-Islam masih sensitif dengan agamanya. Selonggar mana pun ikatan orang Islam dengan agamanya ia tidak tergamak agamanya dihina dan dipermain-mainkan.
Sebab itu apabila isu Artikel 121 (1A) cuba hendak disentuh seluruh rakyat di negara ini yang beragama Islam bangkit menentang, walalupun kita lihat kehidupan mereka yang agak sekular tetapi dalam hal ini mereka tetap tidak bersetuju. Kerana ini mereka anggap suatu hal yang menggugat jati diri mereka sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam
Jangan menyamakan Islam dengan agama mereka. Tuntutan yang melampau terhadap Islam bermakna menguji keimanan orang Islam. Kalau penjajah yang datang ke negara ini memahami tentang isi hati orang Melayu Islam, ini maka mereka juga kena faham apa yang boleh mereka buat dan tidak boleh buat di negara ini.
Pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008, Majlis Peguam hendak menganjurkan pula Forum Masuk Islam. Semua pihak marah termasuklah parti PAS melalui kenyataan Dato' Seri Presiden PAS yang menyatakan bahawa ini akan mencetuskan ketegangan agama dan kaum di negara ini. Keadaan tersebut jika dibiarkan, katanya, akan merugikan negara dan oleh itu demi kestabilan hubungan agama serta kaum, PAS menggesa pihak Majlis Peguam membatalkan forum berkenaan.
Kita tahu ini adalah agenda mereka yang hendak memperjuangkan supaya orang bebas untuk murtad. Sedangkan perkara ini sudah jelas, tetapi kenapa mereka masih degil. Apakah mereka hendak menguji tahap kesabaran orang Islam. Selama ini suasana yang harmoni boleh berjalan dengan baik kenapa isu ini yang dibangkitkan.
Ini juga adalah lanjutan kumpulan Artikel 11 yang hendak menuntut supaya kebebasan untuk beragama dan supaya orang Islam juga bebas untuk murtad. Sudah dua kali program Artikel 11 berjaya digagalkan oleh umat Islam iaitu di Pulau Pinang dan di Johor Bahru sehingga Tan Sri Nazri Aziz kata ini tindakan yang bodoh kepada mereka yang tunjuk perasaan. Suka diingatkan ini adalah fitnah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud "Fitnah itu tidur, celakalah mereka yang mengejutkannya."
0 comments:
Post a Comment