Ariff Shah tekad akhiri sumpahan 10 tahun Permatang Pauh
Posted by anakbuah at Thursday, August 14, 2008Utusan Malaysia Online; 13 Ogos 2008
Berita berkaitan: Arif ada peluang menang, kata PM [MalaysiaKini.com]
BUTTERWORTH 13 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Datuk Ariff Shah Omar Shah bertekad untuk mengakhiri sumpahan 10 tahun kegagalan BN menawan Permatang Pauh.
Ariff Shah, 52, yang diumumkan sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini berharap tuah akan berpihak kepadanya pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.
Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya iaitu salah satu daripada tiga DUN di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya umum Mac lalu dengan majoriti 533 undi, yakin pengundi Permatang Pauh akan membuat pilihan bijak.
Katanya, selepas tiga penggal Permatang Pauh berada di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR), penduduk begitu kecewa kerana tiada satu pun pembangunan dibawa ke kawasan itu.
“Permatang Pauh memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh berada di kawasan setiap masa dan memberi khidmat terbaik untuk penduduk,” kata Ariff Shah kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya BN di sini malam ini.
Ariff Shah sebelum ini merupakan Bendahari UMNO Bahagian Permatang Pauh, Ketua Pemuda dan juga Ketua Penerangan bahagian selain telah berkecimpung dalam politik sejak 20 tahun lalu.
Pilihan raya kecil kawasan Permatang Pauh diadakan ekoran penyandangnya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.
Selain DUN Seberang Jaya, Parlimen Permatang Pauh turut meliputi DUN Permatang Pasir (diwakili Hamdan Abd. Rahman dari Pas) dan DUN Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR.
0 comments:
Post a Comment