Oleh: A Kadir Jasin
HERDIKAN Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap media yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) seperti blog, laman perkongsian fail YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS) wajib dipandang berat.
Jelas daripada kenyataan yang dimukahadapankan oleh hampir semua akhbar arus perdana hari ini bahawa Perdana Menteri telah membuat “kerja rumah” atau telah dinasihati oleh pihak-pihak tertentu yang tahu mengenai peranan ICT dalam pembentukan pendapat umum.
Bahasa yang digunakannya boleh dianggap keras dan mengancam. Beliau menggunakan istilah seperti pengkhianatan, perbuatan khianat, pembohongan, “treason” dan “treachery.”
Beliau menuduh pengguna saluran siber ini sebagai tidak menunjuk hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.
Katanya segala fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui blogs dan YouTube tidak menyumbang ke arah mewujudkan perasan lega dan keyakinan di kalangan rakyat jelata.
Eloklah kalau Perdana Menteri sendiri kini mengakui secara terbuka di hadapan kakitangan awam mengenai kesan dan implikasi media yang berlandaskan ICT ini terhadap pendapat umum.
Walaupun mungkin ada pihak yang akan melihat kenyataan Abdullah itu sebagai ancaman atau permulaan kepada satu tindakan yang lebih keras, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif.
Kalau pendukung pemerintahan dan jentera mereka mahu mengambil iktibar daripada artikulasi Perdana Menteri itu, mereka akan segera mendalami, memahami dan menangani isu ini.
Pertama, bukan semua blog dan kandungan YouTube berunsur politik. Malah di negara kita, lebih banyak blog berupa blog peribadi yang tidak menyentuh politik.
Kedua, bukan semua blog politik dan kandungan politik YouTube dikendalikan oleh orang politik atau wartawan yang mahir dalam hal ehwal politik.
Dan ketiga, bukan semua blog anti-pemerintah atau dikendalikan oleh pembangkang. Banyak juga blog dimiliki atau dikendalikan oleh ahli politik pemerintah dan penyokong kuatnya.
Mungkin ada blog atau pemblog yang antikerajaan, yang membuat fitnah dan melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara. Kalau ini terbukti, tindakan sivil dan jenayah boleh diambil ke atas mereka.
Tetapi pasti ada juga blog yang dikendalikan secara profesional dan rasional walaupun kritikal terhadap pemerintah dan parti pemerintah.
Sedikit sebanyak mereka telah menyumbang ke arah memberi kesedaran dan membantu pemerintah memperbetulkan beberapa kesilapan.
Misalnya, dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Limited. Pada mulanya Perdana Menteri sendiri menafikan di dalam akhbar bahawa ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan asing.
Tetapi, beberapa minggu kemudian beliau mengaku bahawa Pantai Holdings telah jatuh ke tangan asing dan Khazanah Nasional Berhad terpaksa dikerah untuk membeli balik kawalan syarikat itu dengan belanja yang besar.
Begitu juga dalam isu-isu sensasi yang lain seperti pemberian kontrak Petronas di dalam dan luar negara kepada Scomi Berhad dan pembelian aset awam Avenue Capital oleh ECM Libra.
Kalau pemblog boleh disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara, pemerintah pun boleh disifatkan demikian di dalam beberapa tindak-tanduknya.
Misalnya, ketika krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di mana peranan Istana telah dipertikaikan.
Lagipun, adalah terlalu mudah (simplistic, convenient) menyalahkan portal berita bebas, blog dan YouTube tanpa mengkaji dan memahami mengapa rakyat jelata memilih dan mempercayai mereka.
Salah satu sebab adalah media massa arus perdana tidak menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap tidak memihak kepada pemerintah.
Kalau disiarkan pun, berita dan maklumat itu kerap kali diolah semula agar memihak kepada pemerintah atau sekurang-kurangnya tidak memberi kesan negatif kepada pemerintah.
Sama ada benar atau hanya persepsi semata-mata, ramai orang hari ini melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran daripada mengikuti media massa arus perdana.
Oleh sebab media massa arus perdana begitu berkait rapat dengan pemerintahan, maka kredibilitinya dan kredibiliti pemerintah saling kait-mengait.
Sama ada kandungan media Internet penuh pembohongan, fitnah dan konspirasi seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, kebenaran mutakhir bergantung kepada proses undang-undang dan kehakiman yang sedang berjalan sekarang.
Kebenaran mutakhir akan muncul dan pihak-pihak yang tertuduh akan mendapat pengadilan yang saksama hanyalah jika proses penyiasatan, penuduhan, pembelaan dan penghakiman dibenarkan berlaku tanpa sebarang gangguan, campur tangan dan ancaman oleh sesiapa pun.
0 comments:
Post a Comment