Utusan Malaysia Online; 4 Sept. 2008

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pejuang kemerdekaan dan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pukul 5.58 petang ini akibat jangkitan paru-paru.

Abdul Samad, 84, atau lebih dikenali sebagai Pak Samad dirawat di pusat itu sejak 24 Ogos lalu dan terpaksa dibantu dengan alat bantuan pernafasan.

Beliau yang dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924, meninggalkan seorang balu, Puan Sri Habibah Hamid dan 10 orang anak termasuk penulis blog dan bekas wartawan, Nuraina dan Maria.

Isteri pertamanya, Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

Menurut anaknya, Nuraina, jenazah Abdul Samad telah dibawa ke rumahnya di No. 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya malam ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, selepas sembahyang Jumaat esok.

Jelasnya, rawatan dialisis kali kedua yang dilakukan oleh pihak hospital hari ini terpaksa diberhentikan kerana jantung bapanya tidak boleh bertahan.

“Sepatutnya rawatan dialisis selama empat jam tetapi diberhentikan selepas sejam rawatan kerana keadaannya yang makin tenat,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Difahamkan, keadaan kesihatan yang tidak menentu itu disebabkan jangkitan paru-paru yang dihadapi bapanya.

“Jangkitan itu telah merebak ke organ lain seperti di bahagian buah pinggang,” jelas Nuraina.

Allahyarham memulakan kerjayanya bersama Utusan Melayu di Singapura pada 1941 dan tidak lama selepas itu, Abdul Samad meneruskan kariernya dengan dilantik sebagai Penolong Pengarang Warta Malaya (Berita Malai) sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarang akhbar berkenaan.

Pada tahun 1946, beliau kembali ke Utusan Melayu sebagai Penolong Pengarang sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarang sehingga 1957.

Dalam tempoh 30 tahun mulai 1958, Abdul Samad memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan dan Penasihat Editorial The New Straits Times Press.

Beliau menerima pengiktirafan tertinggi apabila menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara pada 19 November 1988 selain anugerah-anugerah kewartawanan lain dari dalam dan luar negara termasuk Anugerah Ramon Magsaysay.

Selain statusnya sebagai wartawan terulung, Abdul Samad yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan turut menyertai delegasi ke London untuk rundingan mendapatkan kemerdekaan negara pada 1956.

Beliau juga bergiat aktif dalam politik tanah air selepas penjajahan Jepun pada 1945 sebagai Presiden Parti Kebangsaan Melayu sebelum menyertai bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Selepas lima tahun, beliau meninggalkan parti itu untuk menjadi Pengerusi Tetap UMNO Singapura.

Abdul Samad menerima pangkat Darjah Panglima Setia Mahkota dengan gelaran Tan Sri pada 6 Jun 1992

2 comments:

This comment has been removed by a blog administrator.

September 9, 2008 at 11:07 PM  

Sdr gromit,

Saya melepaskan komen Sdr tetapi kemudian saya delete utk memberitahu yg komen Sdr tidak berapa sesuai diletakkan di bawah tajuk arwah Pak Samad.

Sila poskan kembali komen Sdr ke dlm tajuk posting saya seterusnya yg dirasakan lebih sesuai.

Terima kasih.

September 10, 2008 at 1:33 AM