Bukan hilang maruah (?)
Mingguan Malaysia; 25 Mei 2008

Untuk 30 minit pertama Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh membacakan penghakiman kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge, segala-galanya memihak kepada Malaysia. Pemangku Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) itu memperincikan satu persatu pendirian mahkamah berhubung siapa mempunyai hak milik asal Pulau Batu Putih dari sudut sejarah sebelum tahun 1840.

Hakim dari Jordan itu menggunakan pendekatan urutan tahun - iaitu sebelum tahun tersebut adalah tidak dipertikaikan bahawa pulau sebesar separuh padang bola itu adalah sebahagian daripada Kesultanan Johor yang ketika itu mempunyai kedaulatan ke atas pulau-pulau termasuk pulau kecil di Selat Singapura di mana letaknya Pulau Batu Putih.

Memetik catatan awal penghakiman, beliau kemudiannya memberi harapan kepada delegasi Malaysia bahawa kedaulatan Kesultanan Johor ke atas Pulau Batu Putih tidak pernah dicabar oleh mana-mana kuasa di rantau ini, justeru ia memenuhi syarat 'secara berterusan dan aman mempamerkan kedaulatan wilayah'.

Perihal hubungan antara Sultan Johor dan Orang Laut yang menjalani kegiatan menangkap ikan dan lanun di Selat Singapura turut membuktikan bahawa Kesultanan Johor mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak lama dulu.

Shawkat yang mempengerusikan persidangan kira-kira sejam 45 minit itu kemudian menarik perhatian para audiens yang memenuhi ruang mahkamah mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian Crawfurd 1824. Kedua-dua perjanjian memberi gambaran dari sudut undang-undang bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak bertuan) menepati perjuangan pasukan negara yang bertungkus lumus mempertahankan fakta tersebut.

Amat jelas ketika itu bahawa sebahagian daripada persoalan yang dibangkitkan baik dalam memorial dan penghujahan lisan kes tuntutan bertindih ketiga-tiga bentuk maritim yang menjadi pertikaian telah dijawab secara terang-terangan oleh mahkamah iaitu Pulau Batu Putih adalah milik Kesultanan Johor.

Status itu masih kekal sehingga tahun 1844 iaitu ketika British membuat persiapan untuk mendirikan Rumah Api Horsburgh di pulau tersebut.

Bagaimanapun persoalan sama ada status tersebut terus dipertahankan selepas tahun 1840-an mula menjurus arah yang berbeza apabila Shawkat meneruskan petikan penghakiman yang melibatkan pandangan barisan 16 hakim.

Beliau mula membangkitkan a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan sesebuah negara mempunyai kedaulatan) yang jika gagal dipenuhi boleh menyebabkan sesebuah negara itu 'terlepas' kedaulatan ke atas jajahannya.

Sepintas lalu beliau menyentuh perihal pembinaan Rumah Api Horsburgh yang perancangan serta pembinaannya dikendalikan oleh juru ukur kerajaan Singapura bernama John Thomson yang dilantik sebagai arkitek projek tersebut oleh Gabenor Buttterworth. Pada tahun 1850 ketika upacara peletakan batu asas, mahkamah mendapati tiada wakil kesultanan Johor hadir pada majlis tersebut.

AktivitiIa mungkin disebabkan oleh pihak berkuasa British dan Singapura menganggap adalah tidak perlu untuk memaklumkan kepada Johor aktiviti yang mereka jalankan di Pulau Batu Putih. Shawkat turut menyentuh lawatan Temenggung Johor ke pulau tersebut hanya sekali iaitu sembilan hari selepas peletakan batu asas, dan beliau ketika itu diiringi oleh 30 pengikut.

Ketika kes Malaysia mulai goyah, Shawkat mula mengheret surat balasan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bertarikh 21 September 1953 yang meruntuhkan sama sekali harapan negara untuk mengesahkan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Putih. Tertera di dalam surat tersebut bait ayat yang berbunyi "Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pulau Batu Putih".

Surat tersebut adalah balasan kepada surat bertarikh 12 Jun tahun yang sama yang dihantar oleh Setiausaha Kolonial Singapura kepada Penasihat British bagi Sultan Johor bagi mendapatkan kepastian antara lain mengenai status Pulau Batu Putih kerana ia relevan untuk menentukan sempadan perairan wilayah koloni.

"Mahkamah mendapati surat ini dan tafsirannya adalah sangat penting untuk menentukan sejauh mana kedua-dua pihak memahami tentang hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

"Menyelidiki isi kandungan surat 1953 ini mahkamah berpendapat bahawa balasan Johor adalah jelas dari segi maksudnya. Johor tidak menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih adalah berkaitan pulau itu secara keseluruhannya dan bukannya rumah api semata-mata," kata Shawkat yang sememangnya tidak boleh disanggah kebenarannya.

Rentetan daripada surat 1953 yang melunturkan kes Malaysia, Shawkat kemudiannya menyenaraikan satu persatu tindak-tanduk Singapura di Pulau Batu Putih yang menunjukkan bahawa ia mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut dan bukan hanya sebagai penyelenggara rumah api di situ.

Singapura menjalankan siasatan kes pelanggaran marin, republik itu juga mengawal sesiapa sahaja yang ingin berurusan di pulau itu, mereka juga memasang peralatan komunikasi perkapalan dan merancang penambakan laut di perairan berkenaan.

Johor dan Malaysia, menurut ICJ, tidak berbuat apa-apa ke atas Pulau Batu Putih bermula Jun 1850 sehingga lebih 100 tahun dan apabila pegawai-pegawai dari Malaysia mempunyai urusan di pulau tersebut mereka terpaksa meminta kebenaran daripada Singapura.

Dan dalam sekelip mata menggunakan ayat yang mudah, Shawkat melafazkan keputusan majoriti 12-4 bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih adalah milik Singapura yang biar pun telah berulang kali dibayangkan dalam petikan-petikan penghakimannya namun tetap meninggalkan kesan kejutan yang bukan sedikit di kalangan rakyat Malaysia.

Walaupun tidak dinafikan kehilangan Pulau Batu Putih melibatkan maruah negara namun perlu diakui kecuaian adalah di pihak kita sehingga menyebabkan pulau itu hilang secara rasminya kelmarin, biar pun secara tidak rasmi ia telah diabaikan sejak lebih 100 tahun lalu.

Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, kegagalan Malaysia untuk mendapatkan kedaulatan Pulau Batu Putih bukan disebabkan kelemahan hujah yang dikemukakan di ICJ sebaliknya perlu diakui ia berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan oleh pihak yang berkenaan di pulau tersebut untuk tempoh kira-kira 100 tahun.

Agaknya jika Pulau Batu Putih boleh berkata-kata rajuknya kerana diabaikan untuk sekian lama sudah pasti tidak boleh dirawat. Bukan sahaja pemiliknya tidak menunjukkan minat untuk menjenguk, sebaik diserahkan untuk dibina rumah api di situ, ia dibiarkan ditadbir oleh pihak lain yang kemudian mengambil kesempatan melebarkan peranan daripada sekadar menyelenggara rumah api kepada melakukan pelbagai aktiviti lain.

Keselesaan

Tiada sekelumit bantahan dan tidak mustahil ia didorong oleh sikap tidak kisah dan acuh tidak acuh sehinggakan lambang marin Singapura berkibar di situ tiada siapa peduli. Mungkin jika diberi nyawa kepada Pulau Batu Putih keselesaannya bersama Singapura akan diteruskan mengambil kira ia tidak dipedulikan untuk tempoh yang terlalu lama.

Jauh lebih penting ialah tiada apa yang boleh mengembalikan Pulau Batu Putih kepada Malaysia, hikmah ICJ mengekalkan kedaulatan Middle Rocks kepada Malaysia mesti dilihat dari pelbagai sudut terutama apabila South Ledge juga kelak menjadi milik negara.

Hakikatnya, dengan keputusan itu nelayan-nelayan di Johor tidak lagi tertakluk kepada tentera laut Singapura yang sebelum ini berkawal 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu. Biar pun masih tidak boleh mendekati Pulau Batu Putih namun nelayan dan semua rakyat Malaysia kini bebas ke Middle Rocks dan perairan sekitarnya.

Kita juga bebas menggunakan ruang udara di situ, dasar laut, menjalankan pelbagai kajian serta meletakkan juga kapal peronda tentera laut sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kehadiran pasukan peronda di situ.

Paling penting, nelayan kita tidak lagi dihalau dan negara bebas berbuat apa sahaja di Middle Rocks termasuk mencantumkannya dengan South Ledge apabila ia diisytiharkan milik Malaysia pastinya dalam masa yang tidak terlalu lama lagi. Mengambil pengajaran daripada kehilangan Pulau Batu Putih, tindakan menyelamatkan South Ledge mesti disegerakan dan bukti-bukti yang memihak kepada Malaysia mesti dilakukan secara terperinci dan mempunyai beban pembuktian.

Rasa kecewa nelayan-nelayan di Pengerang mesti diredakan, mereka mesti diberi keyakinan bahawa kehilangan Pulau Batu Putih bukan bermakna hilang segala-galanya malah keadaan hari ini adalah lebih baik daripada semalam ketika mana mereka langsung tidak dibenarkan mendekati perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu.

Kita sendiri boleh membayangkan apa akan terjadi jika Middle Rocks juga jatuh ke tangan Singapura yang pernah muncul dengan idea bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu adalah gugusan kepulauan yang seolah-olah tidak boleh dipisahkan.

Kini Malaysia sekurang-kurangnya dapat menarik nafas lega kerana kebimbangan mengenai wujudnya satu lagi rejim maritim yang boleh menjejaskan sempadan serta bidang kuasa maritim sedia ada di antara negara ini dengan Indonesia tidak menjadi kenyataan apabila Middle Rocks kekal milik kita.

Singapura yang telah memasang peralatan komunikasi radar di Pulau Batu Putih mungkin terpaksa memikirkannya semula kerana ia memberi kesan kepada Middle Rocks yang kini telah disahkan tuannya.

Tindakan republik itu menjalankan kawalan 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim itu sejak tahun 1986 dengan hasrat untuk menjadikan wilayah di sekitar sebagai kawasan larangan kini terpaksa dihadkan kepada Pulau Batu Putih sahaja.

Yang pasti Singapura kini tidak lagi bersendirian di Pulau Batu Putih. Republik itu kini mempunyai jiran yang amat rapat dan semestinya bagi menjaga kawasan kejiranan, Malaysia dan Singapura akan bertindak memakmurkan jiran dan bukannya menyakiti jiran.

Sesungguhnya keputusan ICJ seperti yang ditegaskan oleh Rais sememangnya bersifat menang-menang. Malaysia biar pun terpukul dengan kehilangan Pulau Batu Putih, namun Middle Rocks dan South Ledge kelak menjadi pengubat lara. Singapura yang berbangga lantaran berjaya memperoleh kedaulatan Pulau Batu Putih juga mesti ada terpalit setidak-tidaknya sekelumit rasa kecewa kerana keterbatasan pergerakan serta bidang kuasanya.

Gambar ihsan KLpos.com

[Berita asal]

Batu Putih Hak Singapura

THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”

Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.

Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.

Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

“Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.

Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.

Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.

“Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.

Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.

Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.

Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.

Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.

“Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.

“Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.

Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Duta Kembara, Tommy Koh; dan Duta Anil Kumar Nayar. – Utusan; 24 Mei 2008

Nota: Lihat website ICJ untuk official press release dan salinan penghakiman sepenuhnya.

0 comments: