A Kadir Jasin; 5 Dec 2008

SUASANA
paling unggul bagi mewujudkan generasi baru yang berjiwa Malaysia adalah dengan setiap kanak-kanak, tanpa mengira agama, bangsa, status sosial dan lokasi, belajar dalam satu darjah yang sama, menggunakan bahasa pengantar yang sama dan mengikuti kurikulum yang sama.

Di penghujung sistem itu kita melahirkan lulusan, sama ada di peringkat sekolah atau universiti, yang berjiwa Malaysia, yang mahir berbahasa Melayu dan Inggeris serta mampu menguasai bahasa ketiga daripada salah satu bahasa ibunda.

Ini bukan impian atau mimpi. Keunggulan ini sudah pun difikirkan dan dijelmakan dalam bentuk laporan serta perakuan sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi malang seribu malang, akibat sentimen perkauman, cauvinisme, kepentingan politik jangka pendek dan penafian sejarah, keunggulan ini tenggelam. Yang lahir adalah polarisasi dan pertelingkahan yang berpanjangan.

Maka tidak hairanlah Ahli Parlimen Jerlun merangkap ahli majlis kerja Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir, dikutuk dan dituduh menghasut oleh pelbagai pihak apabila beliau menyarankan penyatuan sistem persekolahan menjadi satu sistem tunggal.

Mukhriz secara ringkasnya mencadangkan sistem pelbagai sekolah dihapuskan dan disatukan menjadi sistem tunggal dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa ibunda orang Cina serta India diperkukuh dan diperluaskan pengajarannya.

Hatta pembesar-pembesar Umno sendiri seperti Mohd Najib Abdul Razak dan Hishammuddin Hussein, mengherdik beliau serta menolak cadangan itu tanpa sebarang artikulasi bernas.

Ini tidak langsung menghairankan saya. Mohd Najib terkenal dengan politik main selamat manakala sepupunya Hishammudin pula tidak mahu dituduh memihak dalam pertandingan Ketua Pemuda dengan menyokong cadangan Mukhriz.

Mukhriz, Khairi Jamaluddin (Naib Ketua Pemuda) dan Dr Mohd Khir Toyo (Ketua Pembangkang DUN Selangor) adalah calon Ketua Pemuda.

Benar kata pepatah, hanya mutu mengenal manikam. Manakala pembesar politik pelbagai kaum yang cauvinis atau pengecut mengecam saranan Mukhriz itu, cendekiawan dan sejarawan menerimanya sebagai satu kebetulan.

Prof Emiratus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dipetik oleh Utusan Malaysia pada 2 Disember sebagai berkata bahawa cadangan Mukhriz itu sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950).

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof Datuk Dr Ramlah Adam pula berpendapat cadangan itu bukan sesuatu yang baru dan pelaksanaannya dapat mengeratkan perpaduan kaum.

“Cadangan itu sebenarnya diilhamkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran dan diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, cadangan Mukhriz itu hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat keazaman politik di kalangan ahli politik negara ini.

Dalam banyak hal, sistem sekolah kebangsaan ada hasil laporan Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950. Laporan itu memperakukan agar semua sekolah yang ada di Malaya pada waktu itu diubah menjadi sekolah kebangsaan, dengan murid daripada pelbagai kaum diajar melalui perantaraan bahasa Melayu dan Inggeris.

Prof Dr Abdullah Hassan (Fakulti Bahasa-Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam rencana bertajuk “One Hundred Years of of Language Planning in Malaysia – Looking Ahead to the Future ” antara lain, menulis:

As such, the Barnes' Report (1950) made a radical recommendation that all existing schools should be transformed into national schools in which children of the various ethnic groups would be taught through the medium of Malay and English.”

Ramai pengkaji sejarah berpendapat bahawa cadangan Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960) yang menjadi batu asas dasar pendidikan moden Malaysia adalah jauh lebih lemah daripada cadangan Jawatankuasa Barnes sepanjang mengenai integrasi dan status bahasa Melayu.

Mungkin masanya sudah tiba bagi pendidik dan cendekiawan sekali lagi mengambil alih agenda pendidikan dan bahasa ini seperti yang dilakukan oleh pejuang bahasa pada tahun 1960-an.

Tidak guna kita mengekalkan sistem yang ada sekarang semata-mata kerana cauvinisme politik sedangkan sistem pendidikan kita hambar dengan pelajar pelbagai kaum yang tebal perkauman serta lemah dalam semua bahasa yang kononnya diperjuangkan.

Saya yakin sistem satu aliran ini boleh dilaksanakan dengan lebih berjaya daripada sistem yang ada sekarang jika kita memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Mempertingkatkan mutu pengajaran bahasa Melayu kerana walaupun bahasa Melayu semakin luas digunakan, mutunya semakin buruk;

2. Untuk menjadi bahasa pengantara tunggal, penguasaan bahasa itu di kalangan guru dan pensyarah wajib dipertingkatkan;

3. Semua guru dan pensyarah wajib mahir bahasa Melayu dan Inggeris. Latihan guru dan penganugerahan diploma pendidikan wajib atas dasar dwi-bahasa;

4. Semua guru wajib boleh mengajar dalam dua bahasa – Melayu dan Inggeris;

5. Mempertingkatkan mutu pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil supaya boleh menjadi bahasa ibunda yang mantap bagi pelajar Cina dan India, serta bahasa pilihan bagi murid Bumiputera;

6. Membuka semua institusi pengajian kepada semua kaum, sama ada secara penuh atau melalui kuota; dan

7. Memperbanyakkan program perpaduan serta disiplin seperti Khidmat Negara bagi membolehkan pelajar dan remaja pelbagai kaum bergaul dengan lebih berkesan.

Kita tidak boleh lagi menyerahkan isu sepenting pendidikan semata-mata kepada pembesar politik yang kita sendiri akui semakin hari semakin lemah daya pemikiran, artikulasi dan komitmen mereka kepada perpaduan nasional.

Cauvinisme dan pertimbangan jangka pendek politik tidak boleh menjamin kelangsungan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum yang bersatu padu.

1 comments:

Kerana asyik melihat kepada kelemahan rakyat dalam menguasai bahasa Inggeris sanggup tukar bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik di sekolah.

Tetapi tidak pula melihat masalah rakyat yang masih lemah dalam menguasai bahasa Melayu, dan tiada pula program mengatasinya.

Adil dan patutkah begitu. Tentunya ini 'ada sesuatu yang tidak kena' dalam mentaliti kalangan pemimpin kita khususnya dan rakyat umumnya.

December 25, 2008 at 1:56 AM