Mingguan Malaysia; 26 Okt 2008


“Dalam bercakap soal Islam tiada siapapun dalam parti saya boleh melarang kerana ia adalah hak saya,’’ itulah jawapan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dari Parti Keadilan Rakyat, Zukifli Noordin kepada penulis apabila ditanya tidakkah beliau bimbang untuk diwawancara oleh Mingguan Malaysia - akhbar yang diboikot oleh Pakatan Rakyat.

Sememangnya dalam mempertahankan Islam, Zulkifli dilihat salah seorang pemimpin yang paling lantang. Tanpa mempedulikan akibat daripada kelantangannya, Zulkifli pernah dihadap ke jawatankuasa disiplin PKR kerana membantah majlis forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam.

Bagi Zulkifli memperjuang dan mempertahankan Islam adalah agenda utama hidupnya, soal karier politik ‘‘itu saya serah kepada Allah menentukannya.’ Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Zulkifli secara terbuka bercakap soal betapa pentingnya umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau membangkitkan bagaimana kaum-kaum lain boleh bersatu apabila terdapat isu yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Justeru kata beliau adalah sesuatu yang menghairankan apabila ahli-ahli politik Islam yang mempunyai akidah yang sama tidak mampu bersatu.

Malah apa yang mengecewakan beliau kelantangannya menegakkan perjuangan Islam turut ditegur oleh Ahli Parlimen Pas yang pada pandangan beliau seharusnya memberi sokongan. Justeru dalam menyatukan umat Islam, Zulkifli berpendapat berikutan sikap taksub kepartian yang masih lagi melumuri sesetengah pemimpin politik beliau mencadangkan Raja-Raja Melayu memainkan peranan pro aktif dalam soal itu. ‘‘Sudah tiba masanya kita bersatu demi Islam,’’ kata beliau.


MINGGUAN: YB telah membangkitkan soal kenyataan khas Raja-Raja Melayu dalam Parlimen, apa tujuan sebenarnya?

ZULKIFLI: Kenyataan khas Raja-Raja Melayu itu ingin memperingatkan semua pihak bahawa perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoal atau dipertikaikan. Saya kupas dalam konteks bahawa Islam ini bukan sahaja dari segi syarak dikatakan tinggi tetapi Perlembagaan negara sendiri meletakkan Islam itu tinggi. Pertama, ia berdasarkan kepada beberapa peruntukan contohnya Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang tidak ada di mana-mana negara pun. Artikel itu mencatatkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Kedua, dilindungi orang Islam dalam konteks Artikel 11 (4). Walaupun kebebasan beragama dibenarkan tetapi dari segi umat Islam ia tidak boleh diganggu.

Malah negeri-negeri juga dibolehkan menggubal sebarang akta dan undang-undang menyekat perkembangan agama lain kepada orang Islam. Ketiga, di bawah Artikel 12 kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hendaklah membantu institusi-institusi pendidikan Islam. Lagi satu contoh ialah Perlembagaan menetapkan penubuhan sebuah mahkamah khusus untuk orang Islam bagi melaksanakan undang-undang Islam.

Ini semua adalah antara peruntukan yang ada dalam Perlembagaan yang memberi gambaran jelas bahawa Islam diletakkan di tempat yang tinggi. Keistimewaan ini juga boleh kita lihat apabila di bawah Artikel 150 menegaskan bahawa Yang di-pertuan Agong apabila mengisytiharkan darurat boleh bersama dengan Parlimen menggantung atau membatalkan undang-undang atau membuat apa sahaja perkara yang perlu untuk darurat itu tetapi di bawah Artikel 150 (6A) menyatakan biarpun mempunyai kuasa yang begitu luas satu perkara tidak boleh disentuh ialah undang-undang Islam. Jadi dalam konteks itu sahaja sudah nampak bahawa Perlembagaan Persekutuan sendiri meletakkan Islam di tempat istimewa yang tidak ada pada agama lain malah dalam Perlembagaan tidak sebut pun agama lain.

Keadaan itu berlaku, pertama kerana ia berdasarkan kepada asal usul sejarah negara ini dan kedua, Islam itu menjadi tonggak kestabilan politik negara ini. Sebab itu Islam tidak boleh diganggu-gugat dan sekaligus ia bermakna perkara yang ada kaitan dengan Islam tidak boleh disentuh contohnya Raja- Raja Melayu. Ini kerana mereka adalah pelindung kepada agama Islam, kedua takrif orang Melayu dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan selain berbudaya dan berbahasa Melayu, dia mesti beragama Islam.

Oleh itu kaitan antara Melayu dengan agamanya itu rapat. Sehingga ada kata-kata bahawa Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Kalau dilihat secara menyeluruh dalam Perlembagaan keistimewaan dan ketinggian agama Islam itu memang ditetapkan.

Jadi disebabkan itu Islam sebenarnya tonggak kestabilan politik dalam negara dan tonggak keharmonian rakyat negara ini. Justeru apa juga perkara berkaitan Islam tidak boleh ‘main-main’.

Tetapi sejak kebelakangan ini soal Islam itu sering diganggu-gugat. apakah ini mungkin berpunca daripada perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu?

ZULKIFLI: Ia terjadi kerana kemungkinan ada pihak sedar bahawa di situ terletaknya tonggak kekuatan negara. Jadi apabila Islam dilemahkan atau diganggu-gugat akan berlaku ketidakstabilan politik. Apa yang berlaku sekarang ialah wujud persepsi bahawa orang Melayu itu tidak bersatu. Sebab itulah Raja- Raja Melayu bertitah dalam konteks ini bahawa orang Melayu perlu bersatu dari segala segi walaupun berbeza fahaman politik dan lain-lain.

Sebab itu kalau kita tengok dalam konteks politik sebenarnya kalau orang Islam bersatu dari segi mempertahankan Islam bukannya siasah (politik) seperti bergabung dan sebagainya Islam akan menjadi kuasa politik yang kuat. Contohnya, dalam Parlimen terdapat 132 ahli Parlimen beragama Islam. Mungkin kita tidak boleh bersatu dari segi kepartian tetapi kenapa kita tidak boleh bersatu dari segi mempertahankan Islam? Seharusnya walaupun kita berdiri atas platform parti politik masing-masing kita perlu bersatu apabila timbul isu berkaitan Islam.

Cuba bayangkan apa akan berlaku kalau semua ahli Parlimen Islam bersatu suara dalam hal ehwal Islam, sudah pasti ia akan menjadi kuasa yang cukup kuat malah hampir-hampir dua pertiga.

Lihat kaum lain mereka akan bersatu kalau timbul isu berkaitan dengan kaum mereka. Contohnya, isu penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mereka bersatu suara walaupun daripada parti politik yang berbeza. Kenapa dalam Parlimen mereka boleh bersatu maksud saya dalam memperjuangkan sesuatu isu. Ini yang seharusnya dilakukan oleh orang Islam. Mereka perlu bersatu dalam isu walaupun tidak boleh bersatu dari segi politik.

Tidakkah saudara khuatir implikasi perjuangan saudara memartabatkan Islam kelihatan tidak senada dengan Pakatan Rakyat?

ZULKIFLI: Sebagaimana yang telah saya tekankan banyak kali, saya utamakan Islam dalam apa juga perjuangan. Saya akui saya bukanlah Muslim yang terbaik, tetapi saya akan berikan yang terbaik untuk Islam. Bagi saya, Islam mesti didahulukan dalam apa jua perkara. Kalau ditakdirkan perjuangan memartabatkan Islam ini bercanggah dengan perjuangan Pakatan Rakyat atau mana-mana parti sekalipun, saya tetap akan utamakan Islam. Seperti yang pernah saya sebut, I am a Muslim first, party member second; I am a Muslim first, a lawyer second. I am a Muslim first an MP second. I am a Muslim first, everything else is second.

Walaupun YB bercakap tentang Islam tetapi Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad menganggap nada YB seperti suara UMNO?

ZULKIFLI: Inilah contoh bagaimana orang Islam tidak boleh bersatu dari segi isu bukannya politik. Apatah lagi kalau penentangan itu datangnya daripada Ahli Parlimen Pas. Dia bercakap seolah-olah dia bukan orang Pas. Ini yang menjadi masalahnya. Apa yang saya bahaskan dalam Parlimen adalah menyentuh soal Islam dan sama sekali tidak berkaitan dengan politik. Sepatutnya dia menyokong saya tetapi disebabkan tebalnya fahaman kepartian dia mengambil sikap menolak hanya kerana bunyi ucapan saya boleh menyokong UMNO sedangkan apa yang saya ucapkan boleh membantu Islam. Saya sempat bertanya dengan beliau dari segi apakah ucapan saya salah. Dia jawab isu berkaitan Islam dan orang Melayu itu dimainkan oleh UMNO. Kalau macam itu tidak bolehlah. Dia sepatutnya menyokong saya. Ertinya, kita ini mengamalkan sikap ikut kepartian bukan isu.

Bagaimana kita hendak selesaikan masalah ini kerana UMNO perlu menjaga hati rakan-rakan dalam BN manakala PKR dan Pas pula menjaga hati DAP bila hendak bercakap soal Islam?

ZULKIFLI: Di sini saya rasa perlu ada satu pihak yang memainkan peranan untuk memanggil kesemua pemimpin politik beragama Islam duduk semeja berbincang. Kita jangan cakap dari segi Melayu tetapi cakap dari segi Islam. Ini kerana kalau kita bercakap dari segi Melayu pasti ada yang akan menentang. Saya berpendapat pihak yang paling efektif untuk memainkan peranan berkenaan ialah Raja- Raja Melayu, mungkin Yang di-Pertuan Agong sendiri. Mungkin mula dengan persamaan bahawa kita satu tuhan, satu nabi dan satu kitab. Kalau UMNO panggil Pas tidak akan pergi begitulah sebaliknya. Tetapi kalau Tuanku panggil mereka pasti akan menyambutnya.

Bukankah sebelum ini sudah ada pakatan antara UMNO dan Pas dalam soal itu?

ZULKIFLI: Tetapi ia gagal kerana pendekatan yang digunakan ialah pendekatan parti. Ia tidak akan berjaya. Apa yang harus dilakukan ialah menggunakan pendekatan isu seperti mana dibuat oleh bangsa lain. Mereka menggunakan pendekatan isu. Sebab itulah kalau kita lihat biarpun MIC dan PKR mempunyai fahaman politik yang berbeza tetapi dalam isu Hindraf mereka bersatu. Begitu juga dalam isu Teresa Kok kenapa MCA dan DAP boleh satu suara. Jadi yang hairannya kenapa kita orang Islam tidak boleh berbuat demikian?

Pemimpin-pemimpin politik Islam bukannya tidak memahami bahaya yang menanti, selain Raja- Raja Melayu tidakkah ada mekanisme lain untuk menyatukan mereka?

ZULKIFLI: Mereka perlu duduk berbincang. Sebab itulah pentingnya ada muzakarah atau muqabalah. Bagaimanapun saya tidak nampak cara itu akan berkesan. Bagi saya dalam usaha ini ia harus melibatkan pihak yang neutral. Sebab itu dalam ucapan di Parlimen saya menegaskan bahawa Raja-Raja Melayu perlu memainkan peranan yang lebih aktif.

Ini kerana saya lihat itu sahaja caranya untuk menyatukan orang Melayu dan Islam. Justeru Majlis Raja-Raja boleh memainkan peranan kerana pihak-pihak lain sudah dianggap mempunyai sikap taksub yang tebal terhadap parti.

Tidakkah tekanan demi tekanan yang berlaku ke atas orang sekarang adalah berikutan keputusan pilihan raya umum, YB bersetuju dengan pandangan ini?

ZULKIFLI: Masalahnya bukan Melayu merasakan mereka yang mencetuskan perubahan atau tsunami politik pada 8 Mac lalu. Oleh itu orang kata sekarang ini masa untuk mengutip habuan. Bagi mereka yang duduk dalam Pakatan Rakyat ia adalah masa untuk ‘membayar balik’. Tetapi hakikat sebenarnya perubahan berkenaan bukan sahaja berlaku disebabkan oleh orang bukan Melayu tetapi juga orang Melayu. Kita tidak menafikan bahawa ia terjadi kerana orang Melayu melihat bahawa ‘penyakit’ di dalam UMNO sudah bertambah parah.

Bagi bukan Melayu atau bukan Islam sekarang, mereka berasa menjadi pencetus kepada gelombang perubahan ini, oleh itu mereka yang berada dalam Pakatan Rakyat harus patuh dengan tuntutan mereka. Sebab itu berlaku di mana Ahli Parlimen Pas yang seharusnya menyokong saya bertindak sebaliknya. Ertinya tidak boleh bercakap soal Islam atau negara Islam. Kita seolah-olah bimbang kalau main banyak sangat isu Islam kita akan kehilangan sokongan bukan Islam ertinya harus mengikut teori kononnya tsunami itu dicetuskan oleh bukan Islam.

Dalam soal ini saya menasihatkan pemimpin Islam supaya jangan kita hilang gambaran besar iaitu Islam. Buat apa hendak kita berkuasa kalau kita kehilangan agama kita.

Dalam menegakkan hak Islam ini kita juga berhadapan dengan orang Melayu yang tidak menyokong perjuangan seumpama itu?

ZULKIFLI: Apa yang menjadi kerisauan kepada kita ialah muncul kumpulan baru di kalangan generasi muda orang Melayu yang longgar kepada agama. Mereka ini mempunyai fahaman Islam liberal. Golongan ini sudah nampak mula melonjak. Satu sebabnya mereka ini terdiri daripada golongan elit dan terpelajar justeru pendedahan mereka terhadap dunia siber lebih luas berbanding orang lain. Mereka dilihat sebagai golongan yang mewakili suara Melayu baru. Ini bermakna berlaku satu lagi pecahan di kalangan orang Melayu Islam. Seperkara lagi, fahaman golongan muda berusia 20-an dan 30-an terhadap sejarah agama dan bangsa terlalu longgar kerana mereka terdedah kepada idea-idea liberal sebab itu mereka mengambil sikap sedemikian. Mereka ketepikan soal agama sebaliknya mengutamakan soal hak asasi manusia. Kalau tidak ditangani segera masalah ini khuatir bangsa kita menjadi satu bangsa berbeza-beza.

Siapa yang hendak menangani masalah ini?

ZULKIFLI: Tanggungjawab ini terletak kepada kepimpinan politik Islam sama ada UMNO atau Pas termasuklah juga Raja-Raja Melayu. Kita harus bertindak daripada sekarang dan tidak boleh menunggu lagi. Kalau kita biarkan fenomena berkenaan orang Melayu boleh terancam. Jadi tanggungjawab besar ini ada kepada kepimpinan politik Melayu-Islam. Mereka perlu mainkan peranan pro aktif bagi menghalang satu bencana kepada bangsa Melayu beragama Islam. Kita tidak mahu satu hari nanti Melayu hanya tinggal nama sahaja. Kekuatan bangsa Melayu adalah kepada agama Islam kalau tidak ada agama Islam berakhirlah mereka. Mereka akan jadi seperti bangsa-bangsa lain. Justeru bagi saya pendekatan berdakwah perlu ditingkatkan. Tetapi malangnya badan dakwah dalam kerajaan terlalu banyak sehingga peranan mereka bertindih akhirnya fungsi mereka tidak berkesan.

Dalam usaha kita untuk mengelak muncul golongan generasi baru Melayu yang longgar kepada agamanya mahu tidak mahu usaha berdakwah kepada golongan ini perlu dipertingkatkan. Secara peribadi, saya berpendapat pendekatan yang pernah digunakan oleh Al-Arqam yang mampu menarik golongan muda menyertai mereka harus dipelajari. Begitu juga pendekatan yang digunakan oleh kumpulan Tabligh.

Sepanjang penglibatan saya dalam perjuangan Islam saya tidak pernah melihat agensi dakwah kerajaan memanggil kumpulan-kumpulan Islam duduk berbincang bagaimana hendak mendekati kaum muda. Saya cukup yakin dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang saya lihat mempunyai pendekatan cukup berbeza. Beliau memanggil semua pihak untuk berbincang. Berikutan sikap terbuka beliau saya fikir inilah peluang terbaik untuk kita memperkembangkan dakwah kepada golongan muda.

Selain itu saya berpendapat sudah tiba masanya badan-badan dakwah kerajaan berdakwah kepada bukan Islam. Salah satu contoh terbaik ialah pembinaan masjid Cina – masjid yang pengisiannya melibatkan identiti kaum Cina.

Setakat ini tidak ada masjid yang khutbah, tazkirah atau ceramah dalam bahasa Mandarin atau al-Qurannya ada terjemahan dalam bahasa itu. Akibat daripada kekurangan tersebut ia mewujudkan persepsi bahawa kalau memeluk Islam ertinya masuk Melayu. Ini persepsi yang salah. Cuba bayangkan orang Cina, tiba- tiba dengan khutbah bahasa Mandarin.

Saya mendapat idea ini apabila seorang budak berketurunan India di Jalan Masjid India memeluk Islam selepas mendengar khutbah dalam bahasa Tamil. Justeru saya cadangkan oleh kerana kaum Cina selalu dikaitkan dengan perniagaan tapak terbaik untuk membina masjid berkenaan ialah bekas Penjara Pudu. Kita bina masjid berorientasikan Cina bermakna masjid itu juga pusat perdagangan seperti mana di Surabaya dan Palembang. Di masjid berkenaan semuanya menggunakan bahasa Mandarin.

Selain itu kompleks berkenaan mesti mempunyai kaitan dengan sikap kaum Cina yang dianggap masyarakat perdagangan dengan cara mewujudkan kedai-kedai di sekitarnya. Melalui cara ini kita akan dapat menghapuskan persepsi bahawa memeluk Islam bererti masuk Melayu.

Suara orang Islam juga dikatakan tidak begitu terserlah dalam Majlis Peguam, apa halangan untuk menubuhkan Majlis Peguam Muslim?

ZULKIFLI: Halangan utama ialah legislatif. Sudah ada contoh di United Kingdom dan Australia bahawa badan peguam seharusnya tidak dimonopoli oleh satu badan sahaja. Di sesetengah negara mereka mempunyai tujuh badan peguam, oleh itu sepatutnya ada badan peguam alternatif di Malaysia, kenapa perlu ada Majlis Peguam sahaja? Kenapa tidak diwujudkan Majlis Peguam Muslim, contohnya.

Ini bagi membolehkan peguam yang beragama Islam memilih sama ada untuk berada di bawah Majlis Peguam atau Majlis Peguam Muslim. Tetapi malangnya kita berhadapan dengan masalah kekangan tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan sebuah lagi badan peguam ditubuhkan sedangkan kita ada Akta Profesion Guaman. Sekarang kelemahan yang ada kepada Majlis Peguam ialah mereka tidak boleh meliputi peguam lain contohnya seperti peguam syarie. Justeru apabila timbul masalah di kalangan peguam syarie apa badan yang akan mengawal mereka? Dari segi salah guna kuasa dan salah laku guaman ada juga peguam syarie yang melakukannya, itu kita tidak nafikan tetapi siapa yang akan memantau mereka. Ini peluang untuk pihak berkuasa mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah badan baru Majlis Peguam Muslim yang merangkumi peguam sivil dan syarie. Ini sudah pasti akan memberi peluang kepada peguam Islam untuk duduk di bawah Majlis Peguam Muslim.

Setakat ini di kalangan peguam Islam mereka hanya menganggotai badan yang bertaraf pertubuhan seperti Persatuan Peguam Muslim, Persatuan Peguam Syarie dan Persatuan Peguam Pembela Islam.

Apakah peguam-peguam Islam tidak mampu menguasai pentadbiran Majlis Peguam?

ZULKIFLI: Masalah jumlah peguam Islam tidak cukup. Kita cuma ada sekitar 40 peratus daripada keseluruhan peguam dan lebih buruk lagi banyak peguam Islam tidak aktif. Macam pemilihan jawatan dalam Majlis Peguam kalau peguam Islam benar-benar aktif sudah pasti kita boleh menguasai majlis berkenaan. Ia berlaku kerana daripada 13,000 jumlah peguam Islam hanya 2,000 hingga 3,000 sahaja yang mengundi. Kalau semua 40 peratus peguam Islam mengundi, boleh bawa perbezaan.

Ini pun sudah menampakkan bagaimana di kalangan peguam Islam pun tidak bersatu dari segi isu.

Oleh: Aznan Bakar
Mingguan Malaysia; 19 Okt 2008


SEPANJANG Oktober ini dunia melihat campur tangan paling besar oleh kerajaan negara-negara kuasa ekonomi dunia dalam sistem kewangan dan perbankan mereka. Pelbagai pakej menyelamatkan dapat disaksikan sama ada yang berasaskan kepada polisi kewangan atau ketegasan politik yang mana ia dilihat oleh banyak pihak sebagai berakhirnya era liberalisasi dan kapitalis yang diperjuangkan oleh barat selama ini.

Krisis ekonomi yang bermula dengan sub prima di Amerika Syarikat (AS) pada hujung tahun lalu berterusan menghantui sistem kewangan barat hingga menyebabkan institusi kewangan mereka runtuh satu persatu. Bayangkan hampir semua institusi kewangan terkemuka yang menjadi nadi kepada sistem ekonomi dan kewangan barat terpaksa diselamatkan oleh kerajaan masing-masing - satu dasar yang sama sekali bertentangan dengan liberalisasi kewangan dan sistem kapitalis.

Di AS, syarikat Lehman Brothers yang berusia 160 tahun, kumpulan perbankan City Group, Merryl Lynchm, Morgan Stanly dan beberapa lagi semuanya menuju kemuflisan jika tidak diselamatkan. Di Eropah gergasi kewangan seperti Standard Chartered, HSBC, Barclays dan Royal Bank of Scotland (RBS) semuanya 'lemas' dan perlu diselamatkan. Kini pelbagai pihak terutama negara-negara membangun dan dunia ketiga tertanya- tanya apa jadi dengan sistem yang dulu menjadi kemegahan barat. Ketika krisis ekonomi Asia kuasa-kuasa besar yang diterajui AS ini menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam sistem kewangan masing-masing kononnya atas nama liberalisasi dan pasaran bebas.

Pada hal krisis ekonomi Asia pada 1997-98 bukan berpunca daripada masalah dalaman, tetapi akibat penyangak mata wang yang memanipulasi sistem pasaran bebas dan liberalisasi itu untuk mengaut keuntungan. Usaha 'menyelamat' yang dilakukan oleh negara-negara lemah tersebut demi menjaga kepentingan nasional supaya tidak terlepas ke pihak luar dianggap sebagai menolong kroni. Malah kebanyakan negara Asia terutama Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dipaksa mendapatkan bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) hingga menyebabkan separuh daripada kepentingan nasional tergadai kepada pihak luar.

Tentu kita ingat bagaimana Pengerusi IMF ketika itu, Micheal Camdesus dengan lagaknya berpeluk tubuh menyaksikan Presiden Suharto menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman. Hasil daripada bantuan IMF itu banyak saham syarikat besar milik negara itu terlepas ke tangan pihak asing.

Kepentingan

Dalam kes Korea Selatan, kepentingan syarikat gergasinya Daewoo juga terpaksa dijual kepada pihak luar. Malaysia juga dikritik hebat kerana bertindak menyelamatkan syarikat-syarikat utama terutama sektor perbankan hingga dituduh sebagai membantu kroni. Tuduhan yang turut disokong oleh pemimpin politik pembangkang. Tetapi lihat hari ini. Apa sudah jadi dengan liberalisasi, deregulasi dan pasaran bebas yang menjadi kebanggaan AS dan sekutunya kira-kira 11 tahun dahulu? Semuanya rebah dan tersungkur ekoran terlalu percaya dengan liberalisasi dan deregulasi hingga boleh dikatakan tidak ada peraturan yang mengawal aktiviti kewangan mereka.

Kini kerajaan AS, Perancis, Jerman dan beberapa yang lain merupakan pemilik utama bank-bank terkemuka dunia. Malah ia juga menandakan berakhirnya penguasaan atau hegemoni ekonomi AS dan krisis kali ini dikatakan bakal mewujudkan satu sistem pasaran kewangan baru. Ia dikatakan akan menyaksikan peralihan kuasa ekonomi daripada AS dan sekutunya kepada negara- negara seperti China, India, Brazil dan Russia. Kekuatan ekonomi negara-negara ini menjadi pengimbang kepada krisis sekarang yang mampu mengelakkan ekonomi dunia menuju petaka lebih besar.

Keempat-empat negara itu yang semakin aktif dalam pengeluaran, tenaga dan teknologi tertentu merupakan penampan kepada krisis yang sedang berlaku sekarang. Bayangkan simpanan China yang bernilai AS$1.9 trilion, simpanan petroleum Asia Barat AS$1.3 trilion dan Russia AS$500 bilion. Kemudian ditambah pula dengan simpanan yang ada di Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura yang melebihi AS$5 trilion sudah tentu boleh digunakan untuk mengambil alih kuasa ekonomi dunia. Negara-negara ini akan menjadi pusat sistem kewangan dunia melalui keupayaan untuk mengambil alih bank dan institusi kewangan ketika pasaran kewangan AS dan Eropah merudum.

Bagi AS dan negara-negara Eropah, krisis yang berterusan menyebabkan kerajaan mereka tidak mempunyai pilihan. Mereka terpaksa campur tangan dan menyelamatkan bank-bank yang sedang tenat. Seluruh dunia dapat melihat perubahan bagaimana kuasa politik campur tangan dengan urusan perniagaan di Washington, London, Paris dan Berlin.

Bank-bank di negara terbabit juga tidak mempunyai pilihan. Ketua-ketua mereka dipanggil diberitahu bahawa kerajaan akan menyuntik kecairan sama ada mereka suka atau tidak atas dasar nasionalisme.

Setiausaha Kewangan AS, Hank Paulson pada 13 Oktober lalu berkata, itu bukan apa yang hendak mereka lakukan tetapi mereka tidak mempunyai pilihan. Katanya, kerajaan terpaksa membeli saham bank-bank terbabit kerana alternatif lain langsung tidak boleh diterima. Ini merupakan pengakuan jujur bahawa pasaran bebas kini berkubur bersama leburnya sistem perbankan terhebat dunia di AS hingga usaha menyelamatkannya dianggap sebagai tugas nasional. Di United Kingdom, tugas nasional itu ialah menyelamatkan bank kedua terbesarnya RBS dan bank keenam terbesar HBOS yang kini sudah di bawah kawalan kerajaan. Kerajaan negara itu yang sebelum ini mengkritik langkah menyelamat yang dilakukan Malaysia 11 tahun dulu kini menguasai 60 peratus saham RBS.

Malah bank kelima terbesar di UK, Lloyds juga kini sedang dijadikan milik kerajaan begitu juga dengan bank-bank kecil lain. Sebelum ini, Northern Rock dan Bradford & Bingley 100 peratus dijadikan milik negara. Ia bukti jelas yang menunjukkan negara-negara kuasa besar ini sekadar cakap tidak serupa bikin. Mereka akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan syarikat-syarikat mereka, iaitu tindakan yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan pun dalam dunia ini. Pengerusi Federal Reserve AS, Ben Bernan berkata, untuk menangani krisis itu kerajaan AS tidak akan berundur sama sekali.

Matlamat

Katanya, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat itu. Setakat ini AS telah mengepam AS$700 bilion untuk menyelamatkan pasaran kewangannya. Secara keseluruhannya negara itu telah menyuntik AS$1 trilion dengan terma yang digunakan ialah menyuntik kecairan bukannya menyelamat. Setakat ini tidak ada siapa dapat meramalkan berapa banyak bank akan dijadikan milik kerajaan atau milik negara - satu pendekatan yang ditentang keras oleh pasaran bebas yang diterajui AS tidak lama dulu.

Di AS setakat ini semua nama besar sudah menjadi milik negara iaitu Bank of America, CitiGroup, Wells Fargo, JP Morgan Chase, Goldman Sacks, Morgan Stanley, Merrill Lynch, Bank of New York Mellon dan State Street. Sehingga kini krisis itu belum menampakkan tanda- tanda akan pulih. Kerajaan AS dan Eropah terus memerhati dengan teliti kedudukan sistem kewangan mereka yang semakin rapuh dan tidak lagi mampu bertahan dengan asakan yang berpunca daripada liberalisasi dan deregulasi yang diperjuangkan sebelum ini.

Kini negara-negara terbabit terpaksa menelan kembali segala kritikan mereka terutama terhadap Malaysia yang menggunakan pendekatan konservatif untuk mengatasi krisis kewangan 1997-98. Ketika itu kerajaan Malaysia juga 'menyuntik kecairan' bukannya menyelamat syarikat-syarikat kewangannya. Sama seperti yang dilakukan oleh AS dan UK sekarang. Ketika itu juga kerajaan Malaysia menambat nilai ringgit pada RM3.80 berbanding dolar AS untuk mengelakkan ia daripada terus merudum diheret liberalisasi dan pasaran bebas. Semua itu dilakukan bukan untuk kepentingan kerajaan atau pemimpinnya. Tetapi atas kepentingan nasional dan rakyat. Alasan yang digunakan oleh AS pada 13 Oktober lalu untuk menjustifikasikan pengambilalihan sembilan bank utamanya oleh kerajaan.

Nampaknya, tidak ada apa yang salah dengan tindakan yang diambil oleh Malaysia 11 tahun lalu. Yang pasti krisis yang melanda itu menyaksikan berakhirnya hegemoni AS ke atas sistem kewangan global. Malah tidak mustahil ia bakal menyaksikan peralihan paksi ekonomi dari barat ke timur.

Oleh: Amin Iskandar
MalaysiaKini.com; 17 Oct 2008


Tidak berapa lama selepas Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan presiden Umno, muncul spekulasi mengenai kebangkitan kembali legasi pemerintahan Dr Mahathir Mohamad melalui kepemimpinan Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri yang keenam.

Cakap-cakap ini bukan sahaja berlegar di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan penentang-penentang Umno, malahan ia turut diperkatakan oleh pemimpin Umno sendiri.

Zaid Ibrahim, yang meletakkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada kabinet Abdullah ekoran penggunaan ISA baru-baru ini, lantang menyuarakan kebimbangan ramai tentang kemungkinan itu.

Menurut peguam itu, jika Najib menjadi perdana menteri, “Mahathirisme” akan kembali di Malaysia. Lebih parah lagi, beliau turut meramalkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri de facto di belakang Najib.

Ini kerana ahli parlimen Pekan - yang hanya menang dengan majoriti 241 pada pilihanraya umum 1999 - dilihat sebagai benteng peninggalan Dr Mahathir di zaman pemerintahan Abdullah.

Ketika Zaid masih bersama kabinet, reformasi kehakiman yang cuba dibawanya – sebagai sebahagian projek reformasi perdana menteri – telah ditentang hebat oleh kelompok-kelompok pro-Dr Mahathir yang bernaung bawah payung Najib.

Anak bekas perdan menteri yang kini bakal menduduki jawatan Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir menyerang Zaid secara terbuka di Dewan Rakyat dengan mengatakan menteri de facto undang-undang itu melaksanakan "apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat".

Walaupun reformasi kehakiman direstui oleh Abdullah, ia tetap tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Umno (juak Dr Mahathir) yang jelas menentang segala usaha untuk melaksanakan pembaharuan ke arah memantapkan demokrasi di Malaysia.

Ketika pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, rakyat menyaksikan bagaimana kerasnya beliau apabila berhadapan dengan penentang-penentangnya – sama ada dalam atau luar kerajaan dan partinya.

Dalam Umno, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim terpaksa membayar kos politik yang besar sewaktu menjadi timbalannya kerana kekhuatirannya mereka boleh mencabar kedudukan teratasnya.

Hanya pemimpin seperti Abdullah yang boleh mengiyakan apa sahaja tindakan Dr Mahathir sehingga akhirnya berjaya menjadi perdana menteri kelima.

Lagipun kerana Mahathir sedar, jika beliau terus menerajui pemerintahan negara, nasibnya mungkin akan sama seperti apa yang berlaku kepada Soeharto di Indonesia dan Marcos di Filipina – ditumbangkan oleh gerakan rakyat yang menuntut reformasi.

Dalam kalangan penentang-penentang Dr Mahathir di luar Umno, nasib mereka lebih parah lagi.

Pada November 1985, berlaku tragedi Memali di Baling, Kedah yang sungguh menyayat hati. Ibrahim Libya dan tiga belas orang penyokongnya terkorban, manakala 159 penduduk kampung itu ditahan polis untuk menutup tragedi berdarah di kampung terpencil itu.

Dr Mahathir cuci tangan daripada insiden itu, dan sebaliknya menyalahkan Musa, timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri yang berada di dalam negara pada ketika itu. Dr Mahathir berada di luar negara.

Mengenali cara pemerintahan Dr Mahathir, tanpa restunya, tidak mungkin Musa berani mengeluarkan arahan kepada polis untuk bertindak.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis sosial turut menjadi mangsa kekejaman politik Dr Mahathir. Pada Oktober 1987, Operasi Lalang membaham 106 orang, memaksa mereka berdekam bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tokoh-tokoh politik yang menjadi mangsa antaranya Lim Kit Siang, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Lim Guan Eng, Ibrahim Ali, Chandra Muzaffar, Mohammad Sabu, Mahfuz Omar, dan Yunus Ali.

Kestabilan ekonomi sering dijadikan alasan Dr Mahathir menghalalkan tindakan menutup ruang demokrasi – walaupun jelas ia ditujukan kepada pengkritik-pengkritiknya.

Selain Dr Mahathir, Lee Kuan Yew dari Singapura juga turut menggunakan alasan yang sama untuk bersikap kuku besi di republik itu.

Sebenarnya alasan tersebut telah dibuktikan tidak benar di Korea Selatan.

Selepas demokrasi dikembalikan di negara tersebut pada tahun 1987, pertumbuhan ekonomi negara tersebut berjalan dengan rancak.

Kini Korea Selatan boleh berbangga dengan pencapaian ekonominya di Asia kerana berdiri bersama-sama dengan Jepun, Singapura dan Taiwan.

Najib, yang berjinak dengan politik Mahathirisme, adalah tokoh Umno yang mampu untuk menjalankan pemerintahan bekas pemimpin itu.

Oleh kerana anak Razak Hussein itu, bekas perdana menteri, tidak dikenali sebagai seseorang yang mempunyai ideologi atau pemikiran asli, mudah baginya untuk melaksanakan pemerintahan dengan menggunakan nasihat Mahathir.

Sebab itu dalam wawancaranya, Zaid berkata:

Anda mempunyai 22 tahun era Dr ahathir. Katakanlah Najib bertahan menjadi PM selama 10 tahun, ertinya 32 tahun Malaysia berada bawah Mahathir.

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional dan menuntut perubahan.

Jika Najib mahu meneruskan era kuku besi ala Dr Mahathir, tidakkah beliau takut dengan kebangkitan rakyat?

Jika Mahathir dan Abdullah selamat daripada diturunkan melalui pilihan(jalan)raya, apakah Najib akan mengulangi nasib Soeharto dan Marcos?

Selain dibelenggu bayang-bayang Dr Mahathir, Najib turut dibayangi oleh imej isterinya Rosmah Mansor – seumpama Imelda Marcos, isteri presiden Filipina yang digulingkan oleh kekuatan rakyat pada 1986.

Imelda terkenal dengan kehidupan bergaya dan pernah dilaporkan membelanjakan USD5 juta ketika membeli-belah di New York, Rom dan Copenhagen pada 1983 di kala majoriti rakyat Filipina dibelenggu kemiskinan.

Imelda juga pernah membelanjakan USD51 juta untuk membeli Crown Building di kawasan mewah Manhattan pada 1980-an.

Rosmah tidak kurang juga hebatnya. Baru-baru ini ahli parlimen Gombak, Azmin Ali membangkitkan di Dewan Rakyat mengenai aktiviti membeli-belah Rosmah ketika berada di luar negara.

Orang rumah Najib dikatakan menggunakan Kedutaan Malaysia di London untuk urusan penghantaran pulang barang-barang tersebut ke Malaysia.

(Najib menafikan dakwaan naib presiden PKR itu)

Rosmah juga tercemar dengan imej kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra Kamarudin, yang kini meringkuk bawah ISA, mendakwa sedemikian dalam akuan bersumpahnya tetapi Najib dan Rosmah menafikannya.

Raja Petra yang kini masih dibicarakan dibawah Akta Hasutan kerana menulis artikel tersebut turut ditahan di kem Kamunting, Taiping selama dua tahun.

Jika Malaysia kembali lagi ke era ala Dr Mahathir, rakyat berundur semula ke zaman yang lebih gelap.

Tetapi seorang teman diskusi penulis bersikap positif dalam hal ini. Katanya: “lebih keras penindasan, maka lebih keraslah perlawanan.

“Lebih kuat Najib menekan, lebih cepat Barisan Nasional akan disumbat dalam tong sampah sejarah”.