The Blog Of My Life; 17 Ogos 2008

Minggu ini seluruh negara gempar dengan isu ketuanan melayu lantaran bantahan jalanan yang dibuat oleh para pelajar UiTM seluruh negara. Dakwaan segelintir NGO seperti GPMS, MPP UiTM, UMNO, yang kononnya MB Selangor telah menghina mereka dengan menyarankan agar UiTM dibuka kuota 10% kepada bukan bumiputra mengikut laporan akhbar media arus perdana.

Walau bagaimana pun, mengikut laporan Suara Keadilan, MB Khalid tidak pernah berkata demikian. Kenyataan beliau telah diputarbelitkan oleh media arus perdana seolah-olah Pakatan Rakyat mencabar ketuanan Melayu. Berikut adalah keratan dari laman Suara Keadilan kenyataan MB Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ulasan beliau berhubung pembukaan 10 peratus kuota Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar asing dan bukan bumiputera dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman.

Kata Abdul Khalid soal menaikkan mutu dan kemudahan universiti itu perlu diberi fokus agar UiTM boleh dianggap sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang disegani.

Pihak kerajaan negeri menyeru supaya isu ini tidak dipanjangkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya yang turut mengingatkan pelajar supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang dimainkan sesetengah pihak.

Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap pelajar dan ahli akademik berusaha mengembleng tenaga membantu kerajaan negeri meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di negeri ini sekaligus dapat menjayakan polisi ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.

Menyifatkan isu itu dipolitikkan, Dato’ Menteri Besar berkata UiTM, dalam melaksanakan aspirasi bangsa Melayu sepatutnya tidak hanya memberi tumpuan terhadap isu yang melibatkan kuota.

Menurut beliau kenyataannya itu bukanlah dasar kerajaan Pakatan Rakyat mahupun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, kenyataan itu dibuat beliau bagi menjawab soalan pihak media tentang kemasukan pelajar asing dan bukan bumiputera ke UiTM.

Ulasan tersebut telah dibuat dari konteks mempertingkatkan mutu serta kualiti pendidikan tinggi di dalam era globalisasi sekaligus membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada pelajar Melayu dan bumiputera,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco petang ini.

Abdul Khalid juga mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak-hak keistimewaan pelajar bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi membantu mengangkat martabat pelajar Melayu serta bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Katanya kerajaan negeri terus menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan termasuk Artikel 153 mengenai hak-hak istimewa orang Melayu.

- NOOR ALLIA KASSIM http://www.suaraselangormaju.com.my/index.php?option=com_content&task=view&id=496&Itemid=1

Jika diamati, maka apa yang digembar-gemburkan dimedia perdana hanyalah provokasi pihak berkepentingan politik sahaja. Para pelajar UiTM dijadikan mangsa dengan berita provokasi seolah-olah Pakatan Rakyat berniat jahat cuba mencabar ketuanan melayu. Bukan itu sahaja, malah para pelajar dikerah berdemonstrasi tanpa permit dijalanan, kononnya demi ketuanan Melayu dan ponteng kuliah.

Adalah amat mencurigakan hal ini berlaku tanpa kebenaran atau pengetahuan pihak pentadbiran UiTM sendiri. Ini adalah kerana pucuk pimpinan UiTM sendiri adalah orang kuat UMNO. Seperkara lagi, wakil MPP Luqmannulhakim dipetik sebagai berkata kepada mstar online,

“ Ketika ditanya sama ada perarakan dan perhimpunan yang mereka lakukan bercanggah dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Luqmannulhakim berkata, UiTM tidak tertakluk di bawah AUKU tetapi tertakluk di bawah Akta 174, Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana sebelum mendapat status universiti, UiTM adalah sebuah institusi.

“Memang secara tidak langsung, ia bercanggah dengan akta tersebut yang kandungannya lebih kurang sama dengan AUKU tetapi jika ia dilakukan dengan keizinan Naib Cancelor, ia dibenarkan,” katanya. ”

Berbalik isu kuota, berbagai reaksi dari cerdik pandai amnya bersetuju dengan cadangan menambah daya saing UiTM dengan membuka kuota 10% kepada bukan bumiputra. UIA merupakan contoh terbaik dimana pembukaan kuota telah menambahkan daya saing universiti tersebut.

Saya sendiri sebagai alumni KPP/UiTM juga amat bersetuju jika UiTM dibuka kuotanya 10% kepada bukan bumiputra sebagaimana pernah dilakukan kerajaan BN memberi kuota bukan bumiputra pada MRSM, ASN, JPA dsb. Jika Artikel 153 dijadikan alasan, kenapa sebelum ini boleh tetapi sekarang tidak boleh? Jika alasan peluang bumiputra dikurangkan untuk belajar diperingkat universiti, itu adalah salah kerana kini terdapat ribuan kolej awam dan swasta dimerata ceruk negeri.

Apa lagi jika cadangan MB hanya untuk beberapa kursus tertentu sahaja dan bukan keseluruhan UiTM. Sebaliknya media telah memutar-belitkan kenyataan beliau sehingga dituduh khianat kepada bangsa Melayu

Semua institusi menawarkan peluang yang sama tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan. Yang menjadi ukuran adalah semangat untuk belajar dan berdaya saing. Wang ringgit tidak menjadi masalah kerana tabung PTPTN adalah untuk semua. Kini biasiswa adalah terhad, pelajar UiTM bumiputra sendiri pun tak dapat. Hanya pelajar terbaik dari segi merit sahaja layak mendapatnya. Oleh yang demikian isu ketuanan melayu tidak berkait langsung dalam soal pembelajaran diperingkat universiti jika kita benar-benar mahu nama universiti kita dijulang diperingkat tertinggi.

Walau bagaimanapun, hak kuota adalah hak mutlak dasar kerajaan yang memerintah serta pihak pentadbiran universiti untuk membuat keputusan. Mungkin UiTM agak berlainan kerana Chancellor nya adalah DYMM YDPA. Apa jua cadangan atau pendapat sesiapa demi kebaikan semua haruslah dibincangkan secara aman tanpa provokasi perkauman yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum diMalaysia.

1 comments:

mpp uitm patut balik baca buku undang2 ler....ada ke kata uitm bukan di bwh AUKU? Habis apa makna U dlm UiTm tu? bukan universiti ker? haprak pya mpp. agaknya U tu u-turn kot. Sebelum ni mmg UiTM institusi tp skg dh upgrade jdi U....and that's mean it's under AUKU. Mna org2 BN yg kata demonstrasi tu budaya barat? Demo bukan budaya kita la, demo itu demo ini lar.....skg bdk2 UiTM pun dh ikut2 budaya barat ker? patutla haprak. Ckp x serupa bikin btul.......cis......

August 18, 2008 at 12:01 AM