Sumber: MalaysiaKini.com

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi dikaitkan dengan Altantuya Shaariibuu - kali ini dakwaan yang lebih menggemparkan daripada penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Abdullah Baginda.

Penyiasat persendirian itu, P Balasubramaniam hadir dalam sidang media bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR Petaling Jaya hari ini.

Dalam akuan berkanunnya, Balasubramaniam memberikan beberapa butiran maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya, wanita Mongolia yang dibunuh, dengan timbalan perdana menteri.

Balasubramaniam, yang ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu pada 2006, turut mendakwa keterangannya mengenai Najib telah tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.

Dakwaan-dakwaan tersebut terkandung dalam akaunnya setebal 16 halaman - yang turut diedarkan di sidang media tersebut tengah hari ini. Akuan berkanun tersebut difailkan pada 1 Julai.

Balasubramaniam juga mendedahkan bahawa Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan akan "menguruskan" kes bunuh yang membabitkan rakan rapatnya itu.

Hantar SMS

Balasubramaniam diupah oleh Abdul Razak selama 10 hari untuk berdepan dengan Altantuya yang datang ke Malaysia dua tahun lalu untuk berurusan dengan penganalisis politik itu, seorang kenalan Najib.

Tidak lama selepas itu, Altantuya ditemui terbunuh di sebuah kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor.

Beliau juga mendedahkan bahawa Abdul Razak telah menghantar SMS kepada Najib pada hari beliau ditahan berhubung siasatan pembunuhan Altantuya dan telah menerima jawapan daripada Najib yang menyatakan "beliau telah bercakap dengan ketua polis negara".

Balasubramaniam berkata, dalam jawapannya itu, Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa "perkara itu akan diuruskan oleh ketua polis negara".

Pegawai penyiasat itu juga mendedahkan bahawa beliau telah memberitahu semua itu kepada polis ketika mereka mengambil kenyataannya sepanjang tujuh hari siasatan terhadapnya, tetapi terperanjat kerana semua bahagian yang membabitkan Najib, tidak dimasukkan dalam kenyataan tersebut.

Laporan polis


Balasubramaniam juga memberitahu sidang media tersebut bahawa beliau membangkitkan isu itu sekarang kerana kecewa dengan pihak pendakwaan - yang telah menutup kes pendakwaan terhadap dua anggota polis dan Abdul Razak yang dituduh membunuh Altantuya - kerana tidak berbuat apa-apa untuk mengemukakan keterangannya mengenai Najib.

Katanya, beliau tidak ditanya langsung mengenai perkara itu apabila memberi keterangan di mahkamah. Beliau merupakan saksi pertama pihak pendakwa.

Anwar berkata, ini membuktikan bahawa pihak polis dan pihak pendakwa, terutama Musa dan peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, telah menyembungikan maklumat yang relevan dengan kes tersebut.

Ketua umum PKR itu bimbang bahawa mereka akan melakukan perkara yang sama dalam siasatan kes liwat terhadapnya sekarang, ekoran dakwaan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar juga telah membuat laporan polis terhadap Musa dan Gani Isnin lalu yang didakwanya memalsukan bukti dalam kes ditumbuk Tan Sri Rahim Noor, ketua polis negara waktu itu, pada 1998.

Timbalan perdana menteri sebelum ini beberapa kali menafikan beliau mengenali wanita Mongolia itu dan juga menafikan sebarang kaitan dengannya.


Anwar: Tubuh s'jaya siasatan diraja

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, pendedahan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam dalan akuan berkanunnya, mempunyai implikasi serius terhadap pentadbiran kehakiman negara di mana integriti dan kredibiliti polis, pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman telah tercemar.

Katanya, kenyataan Balasubramaniam itu telah mengesahkan "apa yang telah kita katakan selama ini; tiada siasatan yang sempurna dilakukan terhadap pembunuhan Altantuya".

Akuan bersumpah Balasubramaniam itu, tegas mantan timbalan perdana menteri itu, mengesahkan dengan jelas dan konsisten bentuk manipulasi sistem keadilan jenayah "yang telah kita saksikan di negara ini sejak 1998".

Akaun berkanun setebal 16 halaman itu difailkan pada 1 Julai dan turut diedarkan di sidang media Anwar di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya tengah hari ini. Balasubramaniam turut hadir.

Menurutnya, pendedahan penyiasat persendirian itu menuntut supaya sebuah suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Dalam akuan berkanunnya itu, Balasubramaniam memberi maklumat yang didakwa menunjukkan hubungan awal antara Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak.

Balasubramaniam, yang ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu, turut mendakwa keterangannya mengenai Najib telah tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.

0 comments: