Kisah Sebenar Harga Minyak
Sumber: Blog "Suara Akar Umbi" UMNO Caw. Damansara Utama, P. Jaya

Kenaikan harga minyak secara mendadak baru-baru ini telah mengundang reaksi negatif daripada rakyat tempatan. Ahli UMNO juga tidak terkecuali daripada kesan kenaikan ini (kad keahlian kami tidak bererti diskaun di Petronas). Malah, ramai yang marah, dan mengangguk tanda bersetuju apabila pihak Pakatan Rakyat pantas mengambil peluang dan mempertikaikan tindakan ini.

Penulis ingin menyentuh beberapa isu berkaitan kenaikan harga minyak ini:

Kepimpinan harus lebih telus

Taktik yang paling banyak digunakan adalah kaedah “perbandingan”. Satu pihak akan menyatakan harga minyak Malaysia masih lagi murah berbanding Negara-negara asing. Satu pihak lagi membandingkan harga minyak Malaysia, sebuah Negara pengeksport minyak, yang lebih mahal berbanding negara-negara pengeksport lain.

Kepimpinan akan membuat perbandingan harga petrol RM 2.70 seliter di Malaysia berbanding negara-negara lain, contohnya Singapura (RM 5.20). Masalahnya adalah perbandingan dibuat dalam Ringgit sedangkan penduduk Singapura dibayar gaji dalam Sing Dolar! Apabila kiraan dilakukan, rakyat Singapura hanya membayar S$ 2.19.

Ini belum mengambil kira purata pendapatan (GDP Per Capita) mereka yang dianggarkan S$ 75,360.00 (2007). Purata pendapatan Malaysia pula adalah RM 22,345.00. Maknanya rakyat Singapura boleh mengisi lebih kurang 34000 liter setahun manakala rakyat Malaysia hanya mampu mengisi 8300 liter. Benarkah?

Penulis ini bukanlah pakar statistik mahupun matematik dan hanya berlandaskan sumber di Internet. Tetapi kenyataannya tetap sama – perbandingan haruslah relevan dan mencerminkan keadaan sebenar. Janganlah ditukarkan lagi matawang.

Pembangkang pula jangan hipokrit

Taktik yang gemar digunakan oleh pihak pembangkang kenaikan ini pula adalah membandingkan harga minyak di negara-negara pengeluar minyak yang lain.

Contoh terbaik adalah apabila menyatakan harga minyak di negara-negara seperti Saudi Arabia (RM 0.38 seliter), Nigeria (RM 0.32 seliter) dan Venezuela (RM 0.16 seliter). Wow! Hebat bukan? Alangkah indahnya gambaran yang diberikan ini.

Tetapi ini menyembunyikan beberapa fakta yang amat penting. Saudi Arabia yang lebih kurang mempunyai jumlah penduduk Malaysia mengeluarkan 11 JUTA tong minyak dalam sehari. Malaysia? Setakat 750,000 tong minyak sehari, itupun statistik CIA pada tahun 2005.

Nigeria? Adui. Kalau sebut nanti macam mengaibkan negara lain, tetapi realitinya adalah dengan kadar kematian melalui AIDS yang tinggi, risiko jangkitan yang dikategorikan sebagai tinggi, pendapatan purata yang hanya lebih kurang RM 6,000 setahun (statistik CIA) dan lebih dari 70% berada pada paras kemiskinan, adakah kita hanya mengambil kira harga minyak sebagai perbandingan? Buat apa harga minyak yang rendah jika majoriti rakyat tidak mampu membeli kereta?

Begitu juga kisahnya dengan Venezuela. Pengeluaran minyak adalah hampir 3 juta tong minyak sehari manakala permintaan domestik hanyalah lebih kurang 600,000 tong sehari (lebih kurang Malaysia). Jadi negara mereka melimpah-limpah dengan minyak, bukan seperti Malaysia. Belum lagi di ambil kira paras kemiskinan, kemerosotan pendapatan purata dan penganiyaan hak-hak rakyat yang berlaku di negara Amerika Selatan itu.

Pembangkang juga mungkin tidak sedar bahawa negara-negara contoh mereka kebanyakannya tidak mengamalkan sistem demokrasi, ataupun jika demokrasi, adalah demokrasi yang terhad dan ditindas (seperti kisah Hugo Chavez di Venezuela).

Mungkin apa yang diinginkan mereka adalah sebuah negara monarki? Atau sebuah negara sosialis? Kedua-dua konsep ini mungkin kelihatan indah kepada rakyat, tetapi lihat sajalah contoh-contoh seperti di atas. Harga minyak bukanlah penentu segalanya!

Kesimpulan

Hujah-hujah menyokong atau membangkang kenaikan harga minyak harus menggunakan fakta yang jelas dan terang buat perbandingan rakyat. Media cetak dan elektronik juga harus memainkan peranan membela hak rakyat dengan memberikan gambaran sebenar.

Jelas daripada fakta-fakta yang dikemukakan penulis ini bahawa walaupun harga pasaran dunia seragam, harga minyak setiap negara adalah bergantung kepada faktor-faktor yang unik setiap negara tersebut.

Penulis tidak mampu untuk membantah jika pembangkang menaikkan isu pembaziran sebagai salah satu punca wang untuk subsidi berkurangan sehingga menyebabkan belanjawan defisit.

Tetapi penulis juga tidak mampu untuk membantah apabila kepimpinan mempersoalkan ketelusan dan kebolehan pembangkang mengotakan janji untuk bukan sahaja mengekalkan harga minyak lama tetapi mengurangkannya lagi!

Apakah rahsia mereka? Wallahualam. Tetapi pastikan bukan rakyat yang menjadi mangsa lagi.
(2007).

0 comments: