Oleh: A Kadir Jasin
Blog The Scribe; 4 Jun 2008

Banyak juga pembahas blog ini yang merungut bahawa di saat-saat negara memerlukan perpaduan dan persepakatan minda dan perancangan untuk menangani berbagai masalah, kita sebaliknya berpecah-belah.

Mereka menyebut mengenai masalah ekonomi, khasnya kenaikan kos sara hidup, peningkatan jenayah, kedaulatan negara dan perkongsian kaum.

Saya setuju. Malah sejak tahun 2006 lagi saya telah memberi amaran mengenai kesan negatif kenaikan harga barang dan perkhidmatan apabila kerajaan menaikkan harga bahan-bahan petroleum.

Malahan rencana pertama blog ini adalah mengenai kenaikan harga minyak bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” yang saya siarkan pada 28 Februari, 2006.

Antara lain, saya menulis: “Kenaikan harga minyak hari ini tentunya akan membebankan lagi rakyat jelata. Mula-mula sekali, kos pengangkutan akan naik. Lepas itu harga barang-barang pengguna akan naik. Bersama-sama dengan itu, naik jugalah kadar inflasi.”

Saya menutup rencana itu dengan hujah berikut: “Untuk terus memperkasa sebuah negara Islam Hadhari yang berpaksikan tamadun dan peradaban, kita perlu menjaga kebajikan rakyat jelata dengan memperkasa ekonomi mereka.”

Sengaja disebutkan bahawa pada waktu itu, kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi sangat kuat dan cukup popular kerana menang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Tetapi akibat kegagalannya menangani masalah ekonomi, sosial dan keselamatan pada tahun-tahun berikutnya, suasana politik berubah menjadi tidak stabil, populariti Abdullah merosot dan kemampuan kerajaan menangani masalah menjadi semakin kabur.

Setelah menang besar pada tahun 2004, Abdullah mula membatalkan projek-projek era Dr Mahathir dan memperkenalkan program-programnya sendiri melalui Rancangan Malaysia Kesembilan.

Apabila RMK9 terlewat dilaksanakan dan gagal menunjukkan kesan-kesan yang ketara, Abdullah dan penasihat-penasihatnya tergesa-gesa melancarkan koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Malangnya, walaupun diuar-uarkan dengan begitu hebat oleh media massa arus perdana, pelancaran koridor pembangunan itu gagal meyakinkan rakyat jelata malah mendapat kecaman pula.

Dasar dan tindak-tanduk Pentadbiran Abdullah dilihat sebagai memberi keutamaan yang melampau kepada pelabur Singapura di Wilayah Pembangunan Iskandar sehingga tercetus kebimbangan akan wujud sebuah negara de facto Singapura di bumi Johor.

Jawapan Abdullah kepada kritikan ini adalah meminda nama projek itu kepada Iskandar Malaysia.

Pentadbiran Abdullah membatal atau menangguhkan projek-projek era Dr Mahathir atas alasan kerajaan kehabisan wang dan tidak lagi mengutamakan “mega project.”

Sebaliknya ia menguar-uarkan pelaksanaan RMK9 serta koridor pembangunan yang lebih “mega” daripada projek-projek era Dr Mahathir.

Dalam keghairahan itu, isu dan masalah harian rakyat jelata seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna, peningkatan kadar jenayah dan pengangguran gagal ditangani dengan secukupnya.

Abdullah sendiri terkejut dan bertanya “apa sudah jadi?” apabila diberitahu oleh polis bahawa kadar jenayah terus meningkat.

Selepas pilihan raya umum 8 Mac Abdullah bertindak membersihkan tangan dengan menyerahkan jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang sangat penting dan kritikal itu kepada Syed Hamid Jaafar Albar.

Abdullah bebas daripada beban gagal menangani masalah jenayah dan Syed Hamid daripada bala gagal memperoleh kedaulatan ke atas Pedra Branca. (Bukan Pulau Batu Puteh lagi kerana hanya Malaysia memanggilnya dengan nama itu.)

Masalah Abdullah mudah sahaja. Dia bukan seorang perancang dan pengurus ekonomi. Selama pembabitannya dalam Kabinet Abdullah tidak pernah diberikan jawatan ekonomi atau kewangan.

Tetapi kelemahan itu boleh diatasi seandainya Abdullah bersedia mengemblengkan kepakaran ekonomi dan kewangan yang ada dalam Umno dan perkhidmatan awam.

Allahyarham Tun Hussein Onn juga tidak pakar dalam hal ekonomi dan kewangan. Tetapi beliau menggunakan kepakaran pemimpin Umno seperti Tengku Razaliegh Hamzah (Menteri Kewangan) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (Perdagangan dan Perindustrian).

Sebaliknya Abdullah melantik atau membawa masuk “pakar-pakar” dari luar Umno dan pentadbiran awam yang tidak ada pengalaman praktikal atau yang mempunyai agenda sendiri.

Kita tentu masih ingat iaitu apabila negara mengalami krisis ekonomi pada pertengahan tahun 1980an, Dr Mahathir membawa masuk Daim Zainuddin dan meminda beberapa syarat Dasar Ekonomi Baru untuk menarik pelaburan asing.

Ekonomi negara pulih dengan pantas dan berkembang rancak sehingga krisis kewangan Asia pada tahun 1997/98.

Apabila krisis 1997/98 berlaku, Dr Mahathir sekali lagi membawa masuk Daim dan menolak percubaan Anwar Ibrahim melaksanakan dasar ala Tabung Matawang Antarabangsa (IMF).

Walaupun Dr Mahathir sering dituduh bersikap diktator, namun dalam era beliaulah pelbagai mekanisme musyawarah dan perundingan seperti Majlis Perdagangan Malaysia (Malaysian Business Council) dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara dan Majlis Kebangasaan Teknologi Maklumat (NCIT) ditubuhkan.

Saya tidak pasti lagi mengenai apa yang terjadi dengan sistem musyawarah dan perundingan ekonomi era Dr Mahathir itu. Yang kita tahu ialah wujudnya berpuluh-puluh Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Pemandu dan bermacam-macam lagi jawatankuasa.

Yang menjadi riuh rendah dan menimbulkan kemarahan umum sehingga Umno dan BN dihukum dengan begitu teruk oleh pengundi pada 8 Mac lalu adalah dakwaan campur tangan “Budak-Budak Tingkat 4” dan konco-konco di sekeliling Perdana Menteri dalam hal ehwal ekonomi dan perniagaan.

Jadi adalah tidak adil dan tidak tepat menuduh atau memarahi rakyat jelata dan ahli parti sebagai menyebabkan kacau-bilau dan ketidaksepaduan.

Rakyat jelata dan ahli parti, khasnya kaum majoriti Melayu, sekadar bertindak balas terhadap apa yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh pemerintah.

Hari ini, oleh sebab kerajaan begitu lemah dan persepsi rakyat terhadapnya begitu negatif maka apa sahaja yang dilakukannya walaupun betul dan baik sekalipun akan dicurigai dan dipertikaikan.

Apatah lagi jika tindakan itu membawa keburukan kepada mereka seperti kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan pengguna.

Cadangan terbaru untuk menghapuskan subsidi minyak tidak dapat tidak akan memberi kesan langsung dan tidak langsung yang hebat kepada rakyat jelata dan pengguna.

Dalam konteks ini, aspek keselamatan dan kesejahteraan tidak boleh diabaikan. Kenaikan harga dan kekurangan bahan makanan berkait terus dengan isu keselamatan dan kesejahteraan.

Apatah lagi di akhir-akhir ini kita lihat ciri-ciri keingkaran sivil (civil disobedience) seperti tunjuk perasaan semakin menjadi-jadi.

Kalau pengundi Malaysia yang selama ini sangat jinak (docile) boleh menjadi begitu berani pada pilihan raya Mac lalu, kita tidak boleh menolak bulat-bulat bahawa kenaikan harga dan kekurangan bekalan tidak akan mencetuskan ketegangan.

Kita wajib berhati-hati dan berjaga-jaga. Apatah lagi slogan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu adalah “Sejahtera, Aman dan Makmur.”

Akhir kata, kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat jelata, khasnya orang Melayu, menjadi tidak bersatu atau nampak tidak bersatu kerana kerajaan yang mereka berikan mandat besar pada tahun 2004 gagal memenuhi aspirasi mereka.

Maka pada 8 Mac lalu mereka menunjukkan protes mereka secara besar-besaran dan terang-terangan. Lihatlah betapa banyaknya undi rosak yang dimasukkan ke dalam peti undi – 325,120 di seluruh negara.

Kalau pembesar Umno dan BN tidak faham lagi, jangan salahkan rakyat jelata kalau protes mereka lebih hebat mulai sekarang.

Kalau kerajaan tidak cekap menangani kemerosotan ekonomi global yang sedang melanda sekarang, negara bukan sahaja akan mengalami masalah yang teruk.

Apa yang sangat-sangat dikhuatiri adalah inflasi yang semakin meruncing sekarang akan bertukar menjadi stagflasi di mana harga pengguna melambung sedangkan pertumbuhan ekonomi menjadi semakin lembap.

Namun saya yakin para pembesar kanan Umno seperti Mohd Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim menyedari masalah ini dan mampu menanganinya jika diberikan tanggungjawab.

0 comments: