[Terkini]

Laporan Lingam Tidak Bermakna Ada Pendakwaan

(18/05/2008; 5:35pm)

SHARM EL-SHEIKH, Mesir 18 Mei - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V.K. Lingam yang didedahkan kepada umum tidak bermakna akan melibatkan pendakwaan kes tertentu ke atas individu-individu terbabit atau yang dinamakan dalam laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana prinsip penelitian kes oleh suruhanjaya dan mahkamah adalah dua perkara yang berbeza. - Utusan

[Posting Asal]

Mingguan Malaysia; 18 Mei 2008

JOHOR BAHRU 17 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia disiasat dan didakwa di mahkamah berikutan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Datuk V. K. Lingam.

Beliau menegaskan, ini kerana pendakwaan akan memberi peluang kepadanya untuk memberi keterangan di mahkamah mengenai pelbagai perkara yang dilakukan oleh hakim termasuk usaha melobi.

Dr. Mahathir turut berharap siasatan itu tidak ditamatkan dengan akhirnya diputuskan ‘tiada kes’ kerana ia akan menyebabkan beliau tiada peluang untuk menerangkan kepada mahkamah apa sebenarnya berlaku.

‘‘Saya nak cerita berkenaan hakim yang melobi saya dan kalau melobi ini adalah satu perkara yang salah, maka hakim ini juga patut disiasat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramahnya pada Forum UMNO Pasca Pilihan Raya: Suara Hati Rakyat anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-ahli Akar Umbi UMNO Johor dan mykmu.net di Hotel M. Suites di sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anaknya yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Majlis itu dihadiri lebih 1,000 ahli UMNO dari seluruh negeri ini.

Beliau diminta mengulas arahan Kabinet semalam supaya Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan serta-merta terhadap beberapa individu yang disebut dalam kontroversi klip video Lingam termasuk dirinya.

Selain Dr. Mahathir dan Lingam, turut disebut dalam laporan berkenaan ialah ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor serta dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin.

Ditanya adakah kesanggupannya dihadapkan ke mahkamah sebagai pengakuan beliau melakukan kesalahan itu, Dr. Mahathir menegaskan:

‘‘Saya tidak buat salah, saya tahu. Tetapi kalau saya tidak didakwa di mahkamah, maka saya tidak berpeluang untuk mendedahkan segala-galanya.”

Dr. Mahathir bagaimanapun mengakui semasa menerajui negara, memang ada hakim-hakim yang melobi untuk pelbagai jawatan, namun beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa dalam pelantikan hakim-hakim berkenaan.

Beliau berkata, sebaliknya setiap keputusan yang dibuatnya adalah berasaskan penilaiannya sendiri tanpa mempedulikan siapa melobi.

‘‘Saya juga tidak peduli siapa cerita dan kalau saya rasa orang itu patut dilantik, saya lantik. Kalau saya ingat orang itu tidak patut dilantik walaupun dicadangkan oleh hakim, saya tidak lantik.

‘‘Saya bukan posmen. Bila ketua hakim cadang, saya pun kata lulus dan pergi kepada Yang di-Pertuan Agong dan saya nasihat Agong lulus.

‘‘Kalau macam itu, baik kita kata pelantikan ketua hakim harus diputuskan oleh ketua hakim. Jadi, saya tidak ada peranan itu, saya tidak mahu jadi posmen,” tegasnya.

Menurut beliau, bukan sahaja hakim yang melobi, malah ada juga yang datang melobi untuk menjadi calon pilihan raya, mendapat jawatan dalam kerajaan dan sebagainya.

Ditanya peranan Tengku Adnan dan Vincent Tan dalam menentukan pelantikan hakim itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya.

‘‘Saya tidak tahu tentang peranan mereka. Mereka bukan lobi dengan saya tetapi saya dengar cerita macam-macam. Saya ada dua telinga, baik buruk saya dengar.

‘‘Bagi saya, sesiapa boleh beri pandangan berkenaan pelantikan sesiapa sahaja termasuk pelantikan PM (Perdana Menteri) atau TPM (Timbalan Perdana Menteri).

‘‘Ada juga orang yang kata tidak boleh orang ini. Saya tidak dengar, tapi saya lantik juga,” katanya.

Ditanya adakah saranan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat individu yang disebut itu didorong faktor politik, Dr. Mahathir tidak beranggapan begitu.

‘‘Saya tidak berani kata mereka bukan orang yang utamakan politik, mereka orang yang ikhlas dan betul,” katanya.

3 comments:

rasa-rasa lah, dapat tak Kerajaan mendakwa TDM? Adakah hukuman yang dapat dikenakan terhadap TUN seandai dibukti terbabit dan bersalah?

May 18, 2008 at 2:01 PM  

Sdr harimau,

Samada kerajaan dapat mendakwa TDM atau tidak, bagi saya banyak bergantung kepada niat pembuat tuduhan - PakLah dan 'kaki pukul'nya, Zaid. Elok kalau kita jangan bincang tentang hukuman pada masa ini sebab belum tentu penuduh2 mempunyai 'anu' utk mendakwa TDM di mahkamah. Mereka juga mungkin ada menyimpam 'jerangkung di dalam almari' di rumah dan di pejabat mereka. Jika kita rakyat biasa tahu tentang semua itu, apatah lagi mereka2 yg "in the field" seperti top rank judge dan YB2 di Parlimen tu. Laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja Video VL Linggam pun dengarnya "dibocorkan". Maksudnya laporan itu "highly in demand" dan kita rakyat sebenarnya sudah tidak tahan lagi dengan sikap ketidaktelusan kerajaan apatah lagi dengan kes berprofile tinggi seperti ini (dan banyak lagi kes2 rakyat biasa yg tertangguh samada masih dalam siasatan polis maupun yg masih "tergantung" di mahkamah).

Satu hal lagi Sdr. harimau, kalaulah begini gaya Menteri Kehakiman seperti Zaid ini berkerja dan bertindakbalas, apa2 hukuman pun boleh dikenakan terhadap sesiapa juga - kerajaan boleh sahaja menggubal pelbagai undang2 yg boleh digunapakai apabila terdesak dan amat perlu. Jangan kita lupa, ISA juga ditangan PakLah.

Mungkin tindakan TDM terhadap DSAI pada masa itu betul pada pandangan beliau tetapi mungkin juga TDM ada rasa kesal memilih PakLah menggantikan beliau dahulu. Nak dipilih Najib masa itu, mcm "potong queue" pula. Apa2 pun, tindakan kita biasanya tepat dan betul pada ketika itu sahaja - bila keadaan berubah dan tidak seperti yg kita harapkan, sememangnyalah keputusan sebelumnya itu tidak sah/"valid" lagi. Soalnya, bolehkah kita dihukum hanya kerana sebahagian suasana/keadaan/"circumstances" berubah dan "out of our control"? W/pun begitu, "damage control" yg cuba dilakukan oleh TDM agak sudah terlambat dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara sudah rosak teruk serta kesannya amat parah dan memalukan.

May 18, 2008 at 4:31 PM  

haaa...tup-tup hari ni Tun keluar UMNO pulak...apa cerita pulak ni?

May 19, 2008 at 8:35 PM