Lagenda Automotif Negara
Mingguan Malaysia; 11 Mei 2008

Pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin yang meninggal dunia pada minggu lalu bukan lahir dalam 'dulang emas' atau berlian, tidak belajar setinggi mana dan tidak mendapat bimbingan oleh mana-mana tokoh usahawan terkemuka.

Namun, di sebalik kekurangan itu, Allahyarham bukan sahaja menjadi antara usahawan Melayu terkaya negara malah berjaya membangunkan empayar perniagaan terutama model kenderaan berjenama Naza yang kukuh di negara ini sehingga mampu dieksport ke banyak negara.

Dikatakan 'Raja AP' kerana menerima banyak permit import (AP), Allahyarham 'membalas' semula pemberian kerajaan itu dengan memberi peluang kepada 4,800 pekerja di seluruh negara berbanding lima kakitangan sahaja semasa memulakan perniagaan sekitar 30 tahun yang lalu.

Segala-galanya bermula ketika usia Allahyarham mencecah 21 tahun. Setelah 'ingkar' arahan bapanya, seorang kontraktor untuk meneruskan pengajian selepas tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad di Kuala Pilah, beliau bertekad untuk mula berniaga walaupun secara kecil-kecilan.

Dengan tekad untuk berjaya dalam dunia perniagaan yang jarang-jarang sekali diceburi oleh masyarakat Melayu pada masa itu, Allahyarham mula mengimport kenderaan import dibaik pulih dari negara matahari terbit.

Dengan modal permulaan sekitar RM80,000 yang dikumpulkan sejak bekerja selepas tamat persekolahan, Allahyarham berlepas ke Jepun selama tiga bulan dan membawa balik beberapa kereta Jepun, mula memasarkan di lot kedai pertama di Taman Maluri, Cheras sekitar tahun 1975.

Jualan kenderaan import khususnya jenis dibaik pulih pada masa itu bukan semudah hari ini kerana aspek pembiayaan kewangan bagi jualan kereta diperbaharui itu harus disediakan sendiri kerana tiada institusi kewangan tempatan yang berani menawarkan skim pinjaman itu.

Melihatkan kejayaan sentuhan pertamanya dalam dunia perniagaan automotif, sejak daripada itu, Allahyarham tidak menoleh ke belakang lagi dan melabur semula dari hasil jualan kereta import dibaik pulih Jepun itu dengan membawa masuk kereta-kereta mewah Eropah pula.

Kerana tidak pernah puas dengan kejayaan itu, Allahyarham yang 'menggilai' kereta sebagai cinta keduanya giat mengimport pelbagai jenama kereta mewah termasuk Mercedes Benz dan BMW sehingga menjadikan beliau seorang jutawan seawal umur 20-an.

Walaupun bergelar jutawan muda, Allahyarham yang terkenal dengan sikap lemah-lembut dalam setiap tutur katanya tidak pernah sombong dan melaburkan semula setiap dana yang dimiliki untuk membesarkan perniagaan.

Berkat kegigihan dan usaha berterusan yang disokong oleh ahli keluarga lain terutama adiknya, SM Shalahuddin SM Amin yang kini menjadi Presiden Naza Kia Sdn. Bhd., Allahyarham mendapat kepercayaan untuk menjadi pengedar sah kenderaan BMW dan Cycle & Carriage Bintang Bhd. di negara ini.

Apabila empayar perniagaan automotifnya berkembang begitu pesat, Allahyarham yang tidak bermain golf sebaliknya bermain badminton setiap minggu sebagai aktiviti riadah mempelbagaikan perniagaan dengan membeli hartanah di dalam dan luar negara termasuk hotel di Amerika Syarikat (AS) dan kondominium di London.

Di samping itu, Allahyarham yang tidak kenal erti penat walaupun telah berjaya terus menceburi banyak perniagaan lain termasuk perladangan, insurans, pengedaran produk tembakau dan pengurusan hotel serta bisnes makanan & minuman sejajar dengan prinsip beliau terus belajar berniaga.

Tokoh 'kehebatan' Allahyarham sebagai individu dan tokoh perniagaan diperakui oleh masyarakat antarabangsa dan tempatan apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Presiden daripada Kerajaan Republik Korea, selain Tokoh Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, kedua-duanya pada tahun 2006.

Selain itu, Allahyarham pernah menerima anugerah Motoring Man of The Year sebanyak dua kali, pertama kali pada tahun 2002 dan kali keduanya pada tahun 2006.

Seakan tahu jangka hayat tidak sepanjang usia purata rakyat Malaysia, Allahyarham yang berkahwin dengan bekas jururawat, Puan Seri Zaleha Ismail 'melatih' kelima-lima anaknya, tiga lelaki dan dua perempuan untuk berniaga sebaik menamatkan pengajian di universiti dengan bekerja di pejabat 'abah' mereka.

Hari ini, anak sulung Allahyarham, SM Faisal menguruskan lebih 20 syarikat dalam Kumpulan Naza termasuk pemasaran kereta Ferrari dan Naza-Brabus manakala adik SM Faisal, SM Nasaruddin dan SM Faliq turut terlibat dalam membangunkan perniagaan kereta berjenama Peugeot dan F&B.

Tanpa 'abah' di sisi untuk membuat keputusan, memberi tunjuk ajar dan kata-kata semangat lagi, kini semua ahli keluarga Allahyarham terutama adik-beradik dan anak-anaknya terpaksa 'berdikari' berjuang dalam sektor automotif global yang sentiasa kompetitif.

Antara amanat terakhir Allahyarham kepada keluarga, menurut SM Faisal ialah, "Jagalah keluarga dan terus bekerja kuat untuk Kumpulan Naza, anggaplah Naza seperti keluarga sendiri dan segala yang dilakukan haruslah menyumbang semula kepada masyarakat."

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Al-fatihah.

3 comments:

Ingatkan dah tak menulis lagi...

However, artikel u macam sama dengan apa yang disiar di paper?

May 11, 2008 at 9:01 PM  

Salam Sdr. Harimau,

Membaca dan menulis adalah sebahagian hobi saya. Kerana agak sibuk sedikit dgn beberapa perkara akhir2 ini, saya masih belum berkesempatan menulis dan menganalisis isu2 semasa dengan lebih terperinci.

Berasa sedih dengan "kehilangan" tokoh yg telah banyak berjasa kepada orang Melayu khasnya serta berjasa kepada pembangunan industri permotoran dan kenderaan tempatan, saya seperti tidak dapat menunggu untuk memaparkan sejarah pembabitan allahyarham di dalam blog ini. Dan memandangkan Mingguan Malaysia turut mengetengahkan rencana balasungkawa untuk beliau hujung minggu lepas, saya terus mengambilnya untuk disiarkan di sini.

Bagi saya, kejayaan Naza menjadi kebanggaan kita semua. Semoga jasa beliau kepada Negeri Sembilan dan negara akan dikenang selamanya.

May 12, 2008 at 8:39 PM  

Al Fatihah........Amin.

Di harap ramai lagi "orang hebat" di kalangan warikh kito.

May 13, 2008 at 8:25 PM