DISKRIMINASI JAWATAN KOSONG JEJASKAN HUBUNGAN KAUM

PARA majikan syarikat swasta yang dikuasai oleh kaum Cina di negara ini wajar akur terhadap gesaan Perdana Menteri supaya menghentikan amalan mengenakan syarat penguasaan bahasa Mandarin untuk melantik individu mengisi jawatan kosong.

Jika ia diteruskan bermakna jawatan di sektor swasta yang dikuasai kaum itu hanya menjurus untuk mereka berketurunan Cina sahaja.

Jika ditinjau, isu penggunaan syarat penguasaan bahasa Mandarin sudah dibangkitkan lima tahun lalu, berikutan peningkatan puluhan ribu mahasiswa bumiputera gagal mendapat pekerjaan dalam sektor swasta.

Setelah beberapa kali isu ini dibangkitkan, ia bagaikan tidak diendahkan. Kini timbul persepsi bahawa sektor awam yang antara lain mensyaratkan lulus bahasa Malaysia dilihat untuk orang Melayu.

Sementara sektor swasta yang banyak dikuasai syarikat Cina hanya untuk mereka yang menguasai bahasa Mandarin. Apa akan terjadi jika jurang rasa tidak puas hati mengenai persepsi itu dibiarkan.

Hakikatnya agak sukar untuk menarik kaum Cina yang berkelayakan untuk berkhidmat dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Kajian mengenai fenomena ini pernah dilakukan, tetapi ia berlalu pergi tanpa tindakan untuk memperbaiki keadaan.

Begitu juga di sektor swasta yang terus dengan persepsi perkauman tatkala masyarakat majmuk negara ini telah hidup bersama-sama sejak lebih 50 tahun lalu.

Gejala ini sepatutnya tidak timbul lagi seandainya para majikan Cina sedia mempunyai nilai tatasusila hubungan baik antara kaum dan menolak sebarang amalan diskriminasi.

Mungkin ada majikan yang berpendapat mereka mempunyai hak sepenuhnya untuk menentukan wajah muka pekerja yang mereka ambil dengan hanya menuruti perhitungan kepentingan komersial semata-mata.

Tetapi kita percaya bahasa Mandarin seharusnya tidak boleh dijadikan syarat umum yang jelas merupakan suatu amalan diskriminasi bahasa, lebih-lebih lagi bagi bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini.

Walaupun dunia perniagaan di negara ini didominasi oleh satu kaum, itu tidak bermakna majikan boleh mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja hingga mewujudkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan kaum lain.

Namun begitu, jika diambil bekerja, peluang menjawat jawatan tinggi untuk kaum Melayu, India dan lain-lain perlu juga diambil kira. Bukan sekadar cukup syarat kuota dan memperalat mereka bagi mendapat projek dan tender kerajaan.

Sesungguhnya negara ini memberi tempat kepada semua kaum untuk mencari rezeki dan hidup aman. Untuk itu, kita harus sentiasa menjaga sensitiviti antara kaum walau dalam keadaan apa sekalipun. Ini kerana tanpa perpaduan antara kaum, negara yang aman, makmur dan maju tidak akan dapat dicapai.

Utusan Malaysia

0 comments: