[Update]

UMNO - 62 TAHUN

Pada 11hb Mei 2008, UMNO mencecah usia 62 tahun. Ditubuhkan sebagai parti yang demokratik UMNO telah mencapai kejayaan demi kejayaan.


UMNO dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah menewas rancangan Malayan Union, British.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya merebut kemerdekaan daripada British.

UMNO dibawah tiga Perdana Menteri yang berikut telah berjaya menstabilkan negara dan membangunkannya sehingga menjadi negara contoh kepada negara=negara membangun yang lain.

Kepimpinan parti campuran (Perikatan dan Barisan Nasional) oleh UMNO memperolehi kemenangan dua-pertiga tiap pilihanraya Parlimen melainkan pada 1969. Kerajaan Malaysia yang didirikan semuanya kuat dan dihormati di dalam dan di luar negeri.

Tetapi dalam pilihanraya 2008 Barisan Nasional di bawah pimpinan UMNO kalah di lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan tidak mendapat dua-pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Pada ulangtahun ke-62 UMNO dilahirkan ahli-ahli dan pemimpin bawahan UMNO perlu memikirkan tentang keadaan parti pada hari ini. Bolehkah mereka gembira dengan prestasi UMNO sekarang? Bolehkah mereka percaya mereka masih kuat dan relevan seperti dahulu?

Pengasas UMNO memilih sistem demokrasi untuk parti kerana mereka percaya jika pemimpin UMNO menyeleweng, ahli boleh dengan hanya mengundi menukar pemimpin dan memulihkan keadaan.

Malangnya undi perwakilan UMNO boleh dibeli, justeru itu ia tidak dapat menjamin kepimpinan yang dipilih adalah cekap dan baik.

Percubaan dibuat supaya sistem pemilihan tidak mudah disalahguna. Dengan adanya sistem kuota, calon perlu mendapat pencalonan yang besar sebelum dapat bertanding. Sogokan kepada jumlah yang besar dipercayai sukar dilakukan.

Hari ini sistem kuota ini disalahgunakan dengan cara lain. Kali ini yang menyalahgunakannya ialah pemimpin besar UMNO sendiri. Kerana kuasa yang ada padanya, pemimpin besar dapat menghalang ahli melalui pelbagai cara supaya tidak mungkin mencalon selain darinya dengan cukup bilang untuk bertanding.

Ini boleh dilakukan kerana perwakilan ke Mesyuarat Agong UMNO termasuk pemimpin bahagian lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada perjuangan parti, perjuangan agama, bangsa dan negara.

Hari ini yang sanggup disogok akan mendapat sesuatu bagi diri mereka. Jika cara ini berterusan dua perkara boleh berlaku;

1) Wakil Rakyat dan Kerajaan akan dimiliki oleh orang yang sogok mereka. Mereka akan bekerja untuk orang ini dan bukan untuk UMNO dan perjuangannya.

2) Pengundi biasa dalam Pilihanraya akan menolak calon dari parti UMNO dan BN dan dengan itu parti lawan akan mengganti BN sebagai Kerajaan. Pada masa itu ahli biasa, pemimpin kecil dan besar, bahkan yang bakal menjadi Perdana Menteri pun tidak lagi akan mendapat apa-apa bagi diri mereka. UMNO akan menjadi tidak relevan dan akan hancur bersama parti-parti sekutunya. Contohnya dapat kita lihat sekarang. Gerakan, MIC ditolak oleh rakyat.

Sejarah akan kutuk orang yang menghancurkan UMNO. Mereka akan dianggap sebagai pengkhianat kepadanya, pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Sudah tentu orang Melayu yang akan kembali menjadi bangsa yang dihina dan dijajah dengan duit akan kutuk orang yang menyebabkan kecelakaan menimpa kaum bangsa mereka.

Pemimpin UMNO, terutama yang tertinggi yang memimpin parti ke arah kecelakaan ini akan dianggap pengkhianat yang terkutuk. Mereka yang turut sama kerana ingin mendapat sesuatu bagi diri sendiri juga akan dikutuk.

Inilah hasilnya apabila pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa akan tanggungjawab mereka terhadap parti, terhadap bangsa, agama dan tanahair, tetapi sebaliknya menjadi tamak untuk mengisi temolok diri sendiri sahaja. Na'uzubillah


www.chedet.com

[Posting Asal]

SELAMAT HARIJADI UMNO KE-62
TERUSKAN KUASA PASCA PRU 13

Oleh: Ruhanie Ahmad

UMNO belum jalankan bedah-siasah ke atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Kalau ada pun hanya satu usaha yang kelihatan tidak terperinci, tidak menyeluruh dan tidak bersungguh-sungguh.

Itulah kesimpulannya setelah meneliti wawancara bertulis Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dengan satu akhbar perdana dan setelah mengkaji ucapan Abdullah sempena harijadi UMNO ke-62 tahun di PWTC Kuala Lumpur.

Dalam wawancara tersebut, antara lainnya, Abdullah telah ditanya soalan di bawah ini:

"Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?"

Maksud soalan berkenaan adalah, apakah usaha-usaha pemulihan yang dilakukan oleh UMNO sesudah PRU 12. Jawapan bertulis Abdullah kepada soalan ini adalah seperti berikut:

Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.

Pertemuan

Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.

Jawapan di atas membuktikan bahawa UMNO belum mengendalikan satu post-mortem khusus terhadap kekalahan BN dalam PRU 12 yang juga membabitkan calon-calon UMNO.

Apa yang telah dilakukan oleh Abdullah hanyalah menganjurkan beberapa siri pertemuan tertutup di Seri Perdana, Putrajaya, dengan “ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian.”

Dalam pertemuan tertutup itu, kata Abdullah, seluruh pihak terbabit “telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.”

Kata Abdullah lagi: “pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.”

Musibah

Saya memfokus kepada soal post-mortem ke atas UMNO selaku induk BN berikutan PRU12 kerana tanpa usaha ini adalah sukar untuk UMNO melakarkan strategi tercancang, menyeluruh dan berkesan demi UMNO dan BN di hari muka.

Soal post-mortem ini juga saya bangkitkan kerana inilah usaha pertama yang sewajarnya diberi keutamaan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO sesudah berlaku “musibah” atau “bencana” yang dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 12.

Lebih mendesak lagi, post-mortem ini adalah amat penting kerana menerusi PRU 12, BN dan UMNO bukan sahaja gagal menawan semula Kelantan, malah kehilangan kuasa kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Lantaran itu, mengapakah UMNO belum mengadakan sebarang post-mortem menyeluruh ke atas kekalahannya dalam PRU 12? Mungkinkah kerana Abdullah amat yakin bahawa UMNO masih utuh, unggul dan kuat? Sebab itukah Abdullah juga menegaskan dalam wawancara bertulisnya seperti berikut:

Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.

Terhakis

Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.

Abdullah pasti mempunyai wisdomnya tersendiri untuk bersikap positif dan optimis seperti di atas. Tetapi, bila UMNO hanya “memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya” dalam PRU12 dan “majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004”, adakah ini perkembangan biasa?

Tidakkah jadi satu keperluan dan keutamaan untuk mengkaji sebab-sebab UMNO dan BN kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor? Adakah kekalahan 15 peratus kerusi yang ditandingi UMNO bukan perkembangan luar biasa? Tidakkah UMNO perlu ketahui mengapakah prestasinya menurun dalam PRU 12?

Abdullah mungkin betul bila beliau mengatakan
“orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total” dan “kuasa orang Melayu belum terhakis.” Tetapi, bagaimanakah Abdullah memastikan hakikat ini secara objektif dan berwibawa?

Inilah ironinya Abdullah. Beliau amat yakin bahawa
“UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh.” Tetapi, keyakinan ini nampaknya hanya berasaskan laporan yang disampaikan kepada beliau dalam sesi tertutup di Seri Perdana.

Muhyiddin


Pada 13 April 2008, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Naib Presiden UMNO, mencadangkan BN melakukan satu post-mortem terhadap kekalahan teruk BN dalam PRU 12. Post-mortem ini, kata Muhyiddin, wajar dilaksanakan “
secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa.”

Muhyiddin membuat cadangan itu kerana
“kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. Pertama, mereka sebut soal kepimpinan, mereka menyalahkan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dan Pengerusi BN. Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut fakta KJ. Mungkin ia tidak betul atau persepsi, tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting.”

Muhyiddin juga menegaskan:
“Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa. Ada yang sebut soal-soal berkaitan ketelusan, hak kebebasan dan nilai-nilai baru yang mungkin kita tidak sedari mulai menyerap dalam pemikiran generasi baru. Kita masih berfikiran lama. Orang sudah berubah, kita tidak berubah.”

Begitulah hakikatnya Abdullah dan UMNO pada harijadi parti yang ke-62. Abdullah selaku Presiden boleh menyatakan apa sahaja yang beliau mahukan. Realitinya, UMNO hari ini bukan UMNO semalam. UMNO hari seolah-olah dalam keadaan darurat.


Kalau sikap Abdullah masih seperti kenyataannya di atas, saya hanya boleh menyatakan: “Selamat maju jaya UMNO.” Mudah-mudahan dalam PRU 13 kelak parti warisan bangsa ini masih survive dan terus berkuasa!
– Disiarkan oleh Sinar Harian

ASAS DAN TUJUAN UMNO
BUAT RENUNGAN SEMUA

Oleh: Ruhanie Ahmad

Ada sesetengah pihak mempertikaikan bahawa UMNO bukannya berusia 62 tahun pada hari ini kerana UMNO yang diwujudkan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946 sudah pun dibatalkan pedaftarannya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Jadi, oleh kerana UMNO yang wujud hari ini hanya lahir pada 15 Februari 1988, maka pihak-pihak terbabit pun mendakwa bahawa UMNO kini baru sahaja berusia 20 tahun.

Kepada saya UMNO tetap UMNO. Seperti juga bangsa Melayu-Islam, tetap Melayu dan Islam. Biarpun Melayu-Islam lama atau Melayu-Islam baru, mereka tetap Melayu dan Islam.


Oleh itu, terserahlah kepada warga UMNO untuk memilihnya. Adakah hari ini UMNO berusia 62 tahun atau masih remaja dan hanya berusia 20 tahun? Kalau usia UMNO diiktiraf sebagai 62 tahun, maka dewasakanlah perjuangan parti ini. Kalau sudah terbabas, baliklah ke pangkal jalan. Tapi, kalau ada pemimpinnya yang sudah terbabas jauh, nasihatilah beliau meninggalkan arena UMNO dengan serta-merta.


Begitu juga kalau UMNO ini baru berusia 20 tahun. Kalau hakikatnya parti ini masih remaja, maka dewasakanlah UMNO berasaskan akar dan tunjang Melayu-Islam. Perjuangannya mestilah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO – demi agama, bangsa dan negara. Bukan demi kuasa asing, sekutu zionis atau kuasa neoimperialis. Bukan untuk meng-elit-kan UMNO. Tetapi, untuk memasyarakatkan UMNO seperti dulu-dulu.


Bagaimanapun, kerana rata-rata warga UMNO mengiktiraf bahawa UMNO tetap UMNO, kembalikanlah UMNO kepada kedudukan asalnya, tetapi dengan
adjustment dari segi pendekatan dan mindset pemimpinnya.

Maksud saya, iktiraflah akar umbi UMNO adalah di kampung-kampung. Kalau UMNO sudah berusia 62 tahun, janganlah kemewahan menjadikan UMNO lupakan kampung. Kalau UMNO baru berusia 20 tahun, janganlah pendidikan dan pelajaran menyebabkan pemimpin UMNO jijik menjejakkan kaki ke kampung-kampung.


Insaflah. UMNO peringkat akar umbi di kampung-kampung adalah sumber kekuasaan mereka yang memimpin UMNO. Dan, insaflah bahawa warga kampung lazimnya adalah kelompok yang sentiasa ikhlas dan jujur. Tetapi, sekali hati mereka terluka dan jiwa mereka tercalar, ubatnya bukan dari bahan-bahan kimia buatan manusia. Ubatnya adalah dari seribu satu rumput-rampai semulajadi dan pelbagai herba yang wujud di kampung-kampung. Ubat-ubatan ini memang tradisional. Tetapi, tidak mengandungi unsur-unsur racun yang membunuh secara perlahan-lahan.


UMNO ADALAH PARTI KAMPUNG! TAPI WARGA KAMPUNG PUN FAHAM AKAN TUNTUTAN-TUNTUTAN DI BAWAH INI:


FASAL 3: ASAS DAN TUJUAN


UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.


3.1: Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.


3.2: Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.


3.3: Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.


3.4: Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.


3.5: Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.


3.6: Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.


Oleh itu, hormatilah aspirasi, tuntutan dan kehendak warga kampung. Oleh itu, peliharalah kesejahteraan dan kebajikan warga kampung. Oleh itu, hayatilah semula norma, budaya, dan pemikiran warga kampung, walaupun UMNO bercita-cita melahirkan generasi glokal dan towering Malays. Oleh itu, jangan anggap warga kampung hari ini kolot, kuno dan bodoh.

Kedua-dua arktikel di atas ihsan kudakepang .

1 comments:

Kartun yang lawak...petikan artikel yang best...go warikh..

May 14, 2008 at 3:54 PM